
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sime Darby Bhd merosot kepada RM193.0 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2025 daripada RM340.0 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang lebih rendah daripada semua bahagian teras.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sime Darby berkata perolehan bagi suku tersebut juga menurun kepada RM16.31 bilion daripada RM18.84 bilion pada suku ketiga 2024.
Konglomerat itu berkata bahagian perindustrian mencatatkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) lebih rendah iaitu sebanyak RM221 juta bagi suku yang dinilai, terutamanya disebabkan oleh penurunan keuntungan daripada operasi bahagian itu di Australasia.
Dalam pada itu, menurut kenyataan berasingan, Sime Darby memberitahu bahagian permotoran mencatatkan PBIT yang berkurangan iaitu sebanyak RM114 juta dalam suku ketiga, terutamanya disebabkan oleh penurunan jualan kenderaan di kebanyakan pasaran serta persaingan yang semakin meningkat,
Bagi tempoh terkumpul sembilan bulan, Sime Darby mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah iaitu sebanyak RM1.30 bilion daripada RM3.22 bilion sebelumnya, meskipun mencatatkan peningkatan perolehan kepada RM52.30 bilion daripada RM48.34 bilion.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson berkata kumpulan terus berdepan cabaran luaran khususnya dalam bahagian permotoran di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.
Selain itu, katanya kumpulan turut berdepan dengan penguasaan yang semakin meningkat oleh jenama automotif China di pasaran.
Beliau juga berkata segmen pengguna kekal mencabar disebabkan oleh perang harga yang berterusan dan lebihan pengeluaran industri di China.
Sementara itu, bagi bahagian UMW, Toyota dan Perodua terus menunjukkan prestasi yang kukuh di Malaysia.
“Walaupun terjejas dengan pelarasan harga alat ganti berkaitan mata wang, prospek jangka panjang bagi bahagian perindustrian kami kekal positif berikutan permintaan perlombongan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.– Bernama