
PETRA JAYA: Siol International Mountain Bike Challenge (SIMBC) 2025, yang akan berlangsung dari 21 hingga 24 Ogos depan di Bukit Siol di sini, dijangka terus mengangkat nama Sarawak di pentas dunia sambil mempromosikan sukan berbasikal lasak dalam persekitaran bandar.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, penganjuran SIMBC memberi impak besar dalam memperkenalkan Sarawak kepada komuniti antarabangsa.
“Secara tidak langsung, kita dapat mempromosikan Sarawak melalui penyertaan atlet luar negara,” katanya pada pada sidang media khas SIMBC 2025 di Baitulmakmur II hari ini.
Tahun ini lebih bermakna kerana SIMBC menyambut ulang tahun ke-10 sebagai sebuah acara bertaraf antarabangsa.
SIMBC 2025 bakal menampilkan pelbagai kategori perlumbaan kompetitif yang diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), termasuk Cross Country Olympic (XCO) – C1, Downhill Individu (DHI) – C2, Cross Country Short Course (XCC) – C3, Cross Country Eliminator (XCE) – C3 dan Cross Country Relay (XCR) – Team Relay.
Perlumbaan ini dijangka menghimpunkan lebih 300 pelumba profesional dan amatur dari lebih 10 negara termasuk Jepun, China, Thailand, Indonesia, dan Filipina, menjadikannya sebagai pemacu utama pelancongan sukan Sarawak.
Sorotan utama tahun ini ialah pengenalan kategori Downhill Individu (DHI) bawah 16 tahun, satu inisiatif strategik bagi mencungkil dan membina pelumba muda tempatan.
Usaha ini dilihat sebagai langkah awal ke arah melahirkan atlet elit negara bagi temasya SUKMA 2026 dan Sukan SEA 2027.
Selain itu, kategori Cross Country Olympic (XCO) lelaki dan wanita bawah 23 tahun turut diperkenalkan buat julung kali, memberikan peluang kepada pelumba muda untuk bersaing secara kompetitif di pentas antarabangsa.
Menambah lagi tarikan, SIMBC 2025 kini menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM87,000 menjadikannya antara ganjaran tertinggi dalam dunia perlumbaan basikal di Asia.
Turut hadir Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman.
Oleh Norman B