Kepesatan proses pembangunan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang pimpinan wakil rakyatnya Datuk Francis Harden Hollis semenjak tiga tahun kebelakangan ini sememangnya tidak boleh dipertikaikan.
Ini kerana kepesatan proses pembangunan ini boleh dilihat sendiri di hadapan mata rakyat seperti pelaksanaan Projek Hospital Sri Aman II dengan status siapnya kini kian sampai penghujung pada sekarang.
Kemudahan kesihatan terbaharu bernilai RM180 juta itu sedang menjalani ‘sentuhan akhir’ pada pembangunan fizikal dan peralatan sebelum ia diserah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tujuan ujian pada hadapan.
Selain daripada menyedia kemudahan kesihatan, kerajaan juga turut memberi fokus terhadap kemudahan pelancongan dalam DUN Simanggang dengan melaksana Projek Menaik Taraf Taman Tebingan Sungai Batang Lupar bernilai RM12 juta.
Projek berkenaan juga dilaporkan hampir siap dan bakal menyediakan kemudahan tapak sambutan Pesta Benak yang lebih baik dan menarik untuk para pengunjung jika temasya itu kembali dianjur jika Covid-19 sudah memasuki fasa endemik.
Kemudahan perniagaan juga turut diberi perhatian apabila kerajaan bertindak membina Pasar Tamu Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) bernilai RM6.68 juta dan juga Pasar Tamu Simanggang bernilai RM5 juta.
Dua kemudahan berkenaan sudah mula beroperasi dan menyediakan kemudahan kepada peniaga kecil untuk memasarkan produk barangan kering dan basah kepada pengguna di Bandar Simanggang.
Sementara itu kepesatan proses pembangunan di Sri Aman juga menyebabkan kerajaan bertindak menaik taraf semula Loji Perawatan Air (LRA) Bayai bagi menampung permintaan pengguna.
LRA Bayai pernah dinaik taraf kepada 53.3 juta liter sehari (MLD) dengan kos sebanyak RM43 juta sebelum ia kembali di naik taraf semula pada April 2019 dengan pertambahan sebanyak 20 MLD lagi menerusi kos sebanyak RM21.5 juta.
Bagaimanapun naik taraf loji sahaja tidak memadai jika sumber air mentahnya tidak cukup. Justeru kerajaan telah pun melulus sebanyak RM198.6 juta untuk melaksana projek penyaluran bekalan air mentah dari Sungai Batang Lupar ke LRA Bayai.
Projek yang disasar bagi tujuan tender pada pertengahan Disember tahun ini akan melibatkan kerja penyambungan saluran paip 1000mm MSCL sepanjang 29 kilometer, pembinaan rumah pam berkapasiti 75MLD dan kemudahan bekalan air mentah berkapasiti 75MLD.
Penyaluran air bersih untuk penduduk di kawasan luar bandar DUN Simanggang juga turut diberi perhatian dengan terlaksananya Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kawasan Batu Lintang bernilai RM45 juta pada masa sekarang.
Dijangka kawasan DUN Simanggang akan menerima lebih banyak limpahan pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang apabila Projek Jambatan Batang Lupar II bernilai RM223.633 juta sedang dilaksanakan sekarang.
Paling penting sekali adalah rakyat DUN Simanggang haruslah memastikan proses pembangunan hidup mereka terus dipayungi Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas Pilihan Raya Negeri Ke-12 nanti.
Oleh VALENTINE NGUMBANG