VALENTINE NGUMBANG
SIMANGGANG: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang dianggap bertuah kerana masih lagi dipimpin oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ini kerana melalui kepimpinan GPS, kawasan DUN Simanggang akan terus dilimpahi pelbagai projek pembangunan termasuk peruntukan tahunan kata wakil rakyatnya, Datuk Francis Harden Hollis.
“Setiap wakil rakyat GPS juga diberi peruntukan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM5 juta setahun untuk melaksana pembangunan di kawasan tadbir mereka.
“Peruntukan tersebut dibahagikan kepada beberapa projek yang mempunyai impak terhadap sosioekonomi berdasarkan keutamaan dan seterusnya menguntungkan rakyat,” kata beliau.
Harden yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat berkata, Kerajaan GPS akan terus menunaikan tanggungjawab pembangunan hidup rakyat selagi masih mendapat mandat mereka.
“Justeru saya berharap agar rakyat bijak menentukan ‘intan dan kaca’ dalam memilih parti yang berkelayakan untuk meneraju pembangunan hidup pada setiap pilihan raya,” katanya.
Terdahulu Harden telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek RTP Menaik Taraf Tokong Ciyun yang dikendali oleh Persatuan Soon Heng Simanggang.
Surat tawaran bagi projek bernilai RM500,000 itu telah pun diserahkan kepada Pengurus Syarikat Nanang Enterprise, Dyrol Gana Lindex melalui cabutan undi yang dilaksanakan oleh Pejabat Residen Bahagian Sri Aman.
Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) bertindak sebagai agensi pelaksana projek itu yang telah pun bermula semenjak 26 Oktober lepas dan dijangka siap pada 25 April tahun hadapan dengan komponen naik tarafnya adalah pembinaan lif dan pintu gerbang.
Hadir sama Walikota MDSA, Kaunselor Anthony Abell Chendan, Setiausaha MDSA, Tay Guan Huat, Pengerusi Persatuan Soon Heng Simanggang, Tay Ah Tee, Timbalannya Temenggung Kueh Aik Seng dan pengurus projek, Watson Chaking.