



KUCHING: Tiga wanita mengalami cedera ringan selepas siling di dalam sebuah premis di Plaza Merdeka runtuh, malam tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan menerima maklumat daripada pengurusan Plaza Merdeka berhubung kejadian itu pada jam 9.47 malam.
Katanya, insiden runtuhan siling berkenaan berlaku di dalam kawasan premis pusat beli-belah tersebut.
“Seramai tiga mangsa wanita terlibat dalam kejadian ini iaitu seorang pekerja dan dua pelanggan.
“Kesemua mangsa mengalami cedera ringan dan telah dibawa oleh pihak pengurusan Plaza Merdeka ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, hasil penilaian di lokasi mendapati tiada sebarang tindakan operasi diperlukan daripada pihak bomba dan keadaan adalah terkawal.
Operasi seterusnya diserahkan kepada pihak pengurusan premis untuk tindakan lanjut.
Oleh SHAHRUL QAIZAT