

CANBERRA: Satu siklon tropika terbentuk di perairan Northern Territory (NT) Australia dan berpotensi melanda kawasan pesisir pantai NT menjelang Jumaat atau Sabtu, menurut Biro Meteorologi (BoM), lapor Xinhua.
BoM berkata Siklon Tropika Fina terbentuk pada awal pagi Rabu sebagai ribut Kategori 1 di utara ibu negeri NT, Darwin di Laut Arafura, dengan kelajuan angin mencecah 100 kilometer sejam (km/j).
Setakat 3.30 pagi waktu tempatan, BoM berkata siklon itu berada 315 km ke utara-timur laut Darwin dan bergerak perlahan ke arah laut, tetapi dijangka semakin kuat kepada Kategori 2 pada lewat Rabu sebelum menuju ke pantai NT.
“Menjelang Khamis, ia dijangka mengubah haluan ke selatan kemudian barat daya, membawanya ke arah pesisir pantai Northern Territory untuk kemungkinan impak pada Jumaat dan Sabtu,” katanya.
Penduduk komuniti di utara NT telah dinasihatkan supaya memantau ramalan cuaca dan mematuhi arahan perkhidmatan kecemasan.- Bernama-Xinhua