
SIBU: Dasar pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak yang akan mula dilaksanakan tahun hadapan terus mencuri perhatian dan menjadi rujukan kepada negeri lain, khususnya Sabah, yang kini berada dalam suasana pilihan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang, berkata komitmen kerajaan Sarawak menyediakan hampir RM600 juta untuk menanggung yuran pengajian rakyat di universiti milik kerajaan negeri membuktikan kesungguhan Sarawak mengutamakan masa depan generasi muda.
“Sarawak negeri pertama melaksanakan pendidikan percuma di universiti milik kerajaan. Polisi ini kini menjadi ikutan, terutamanya di Sabah yang sedang giat berkempen,” katanya ketika berucap pada Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Malam Keahlian Bollywood di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat luar bandar memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian secara percuma di institusi milik kerajaan negeri seperti Curtin, Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).

Pada masa sama, Gira menegaskan wanita kini memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat, bukan sahaja dalam keluarga tetapi juga dalam kepimpinan, politik, keusahawanan serta bidang profesional.
“Ramai wanita kini berpendidikan tinggi dan memegang jawatan penting. Peranan mereka jelas setanding lelaki,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pertambahan keahlian SIDS serta kerjasama lebih erat antara SIDS dan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) bagi memperkukuh jaringan organisasi.
Pengerusi SIDS Sibu, Angelyn Uchi Maseng, berkata majlis berkonsepkan Bollywood itu diadakan bagi menarik lebih ramai ahli baharu dan mengukuhkan hubungan dalam kalangan komuniti.
“SIDS Sibu kini mempunyai 21 kawasan melibatkan kira-kira 1,500 ahli. Malam ini sahaja, 38 ahli baharu telah didaftarkan,” katanya, sambil menambah bahawa SIDS menyasarkan 70,000 ahli di seluruh Sarawak.
Pada majlis itu, Gira turut mengumumkan RM30,000 peruntukan kepada SIDS Sibu bagi menyokong program dan aktiviti mereka tahun hadapan.
Hadir sama Temenggong Stanley Gramong, Presiden SIDS Dato Alice Jawan Empaling, Pengerusi SDNU Sibu Chambai Lindong dan pengerusi jawatankuasa penganjur Adina Sana.
Oleh Tarani Lanting