Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Sidang Kemuncak Tokyo 1964 dan Sarawak
  • KOLUMNIS

Sidang Kemuncak Tokyo 1964 dan Sarawak

Utusan Sarawak 4 hours ago

SELEPAS Malaysia dibentuk pada 16 September 1963, Indonesia meneruskan konfrontasi di sempadan Sarawak dan Sabah sehingga ke Johor. Keadaan lebih membimbangkan adalah situasi kegiatan bersenjata Indonesia di sempadan Sarawak.

Kegiatan bersenjata dari Indonesia ini menimbulkan rasa ketakutan, bimbang dan resah dalam kalangan penduduk di sempadan Sarawak/ Kalimantan. Oleh itu kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat cuba memainkan peranan untuk meredakan ketegangan Malaysia dan Indonesia.

Bangkok

Menerusi wakil Presiden Amerika Syarikat iaitu Robert Kennedy telah memulakan usaha keamanan di rantau Asia Tenggara. Pada Januari 1964, Kennedy telah berjumpa dengan Presiden Sukarno di Tokyo.

Kennedy meminta Presiden Sukarno untuk mengundurkan tenteranya di sempadan Sarawak. Jika Presiden Sukarno bersetuju tentang hal ini, Kennedy akan berjumpa dengan Perdana Menteri , Tunku Abdul Rahman.

PRESIDEN Sukarno.

Kennedy kemudiannya membawa berita ini kepada Tunku Abdul Rahman, yang menunjukkan sokongan kepada gencatan senjata tetapi meragui kerelaan Indonesia untuk mengundurkan tenteranya.

Seterusnya membawa kepada Persidangan Menteri Luar di Bangkok dari 5-10 Februari 1964.  Dalam sidang tersebut, Malaysia diwakili oleh Tun Abdul Razak Hussein. 

Indonesia dan Filipina pula masing-masing diwakili oleh Dr Subandrio dan Salvador P. Lopez. Menteri Luar Thailand, Thanat Kamon pula mempengerusikan sidang tersebut.

Persidangan tersebut tidak mencapai keputusan yang jelas. Ini kerana Malaysia dan Indonesia mempunyai pendapat yang berbeza mengenai pengunduran tentera. 

Malah Indonesia meminta diadakan pungutan suara di Sarawak dan Sabah. Kegagalan dalam mencapai kata putus dalam persidangan ini menyebabkan ketegangan antara Malaysia dan Indonesia berterusan.

Tokyo

Kegagalan di Bangkok ini tidak melemahkan usaha damai diantara Malaysia dan Indonesia. Perdana Menteri Jepun, Hayato Ikeda berperanan penting dalam membawa pemimpin Malaysia, Indonesia dan Filipina ke meja rundingan.

Pertemuan tiga pemimpin di Tokyo ini memulakan Sidang Kemuncak Tokyo.

Dalam rundingan ini wakil Sarawak juga dijemput untuk bersama-sama berbincang dengan pihak Indonesia dan Filipina.  Sehubungan dengan hal itu, Ketua Menteri, Stephen Kalong Ningkan telah dijemput mewakili Sarawak.

DATUK Stephen Kalong Ningkan.

Ningkan menyatakan peranan beliau dalam persidangan itu adalah untuk menerangkan situasi yang berlaku di Sarawak selama 14 bulan sejak Indonesia melancarkan konfrontasi kepada wakil Indonesia dan Filipina. 

Ningkan menyatakan bahawa Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman sendiri meminta beliau untuk menghadiri persidangan tersebut.

Namun demikian, Ningkan yang sepatutnya bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato Dr. Ismail Abdul Rahman, ke Kuala Lumpur telah membatalkan perjalanannya kerana terdapat urusan lain yang perlu diselesaikan. 

Beliau telah digantikan oleh Timbalan Ketua Menteri James Wong.

Keputusan untuk menghantar James Wong mengantikan Stephen Kalong Ningkan telah dibuat semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri yang dipengerusi oleh ketua menteri sendiri.  Keputusan ini telah dipersetujui dalam mesyuarat tersebut.

Pengunduran

Sementara itu antara syarat dinyatakan dalam rundingan di Tokyo tersebut adalah pengunduran tentera Indonesia di sempadan Malaysia.

Terdapat lima pos kawalan keselamatan dinyatakan oleh Malaysia untuk proses pengunduran tentera Indonesia. Tiga pos kawalan keselamatan ini terletak di Sarawak.

JAMES Wong… Pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Pasukan pemantau untuk pengunduran tentera Indonesia diserahkan kepada Thailand. Thailand telah menghantar dua kumpulan untuk memantau pengunduran tersebut. Satu kumpulan pergi ke Kuching dari Singapura, manakala kumpulan kedua berlepas ke Pontianak dari Jakarta.

Kumpulan pemantauan dari Thailand itu diketuai oleh Kapten Bansha. Mereka mengenal pasti dua pos kawalan keselamatan bagi tujuan pengunduran berkenaan. Pos pertama terletak di Tebedu, manakala pos kedua berada di Entikong, Indonesia.

Dalam pertemuan antara Bansha dan Ketua Menteri Sarawak, Ningkan menyatakan kesediaannya untuk membantu melancarkan segala usaha pasukan pemantauan yang diketuai oleh Bansha.

Bantuan ini termasuklah menyediakan kenderaan wakil Thailand ini ke Tebedu.

Dalam hal ini Ningkan memberi sokongan kepada usaha kerajaan Malaysia dalam mencari kedamaian. Menurut beliau walaupun Indonesia dianggap sebagai penceroboh tetapi Malaysia mengamalkan dasar keamanan dalam menyelesaikan isu-isu keselamatan di sempadan Sarawak dengan Kalimantan.

Pada awalnya usaha pengunduran ini menampakkan tanda-tanda kejayaan. Hal ini boleh dilihat dengan pengunduran 32 anggota tentera Indonesia dari Tebedu. Pasukan tentera ini diketuai oleh Ishak Ibrahim dan timbalannya Pak Sono. 

Gagal

Sementara proses pengunduran berlaku di Sarawak, tetapi berita dari Sidang Kemuncak Tokyo membantutkan usaha ini. Malaysia dan Indonesia tidak dapat mencapai kata sepakat dalam usaha pengunduran tentera Indonesia.

Berita tentang hal ini telah disampaikan oleh James Wong menerusi telegram kepada Ningkan. Dalam telegram itu, James Wong menyatakan bahawa sidang kemuncak telah tamat tanpa sebarang persetujuan atau perjanjian termasuk pengunduran tentera Indonesia di sempadan. 

Oleh itu konfrontasi berterusan, dan Sarawak harus terus berjaga-jaga.

Siap siaga

Berita tentang kegagalan sidang kemuncak itu tidak mengejutkan Ningkan. Dalam hal ini Ningkan berkata bahawa beliau sendiri tidak menaruh harapan tinggi kepada sidang tersebut, dan menyatakan bahawa Presiden Sukarno tidak boleh dipercayai. 

Beliau menambah bahawa Presiden Sukarno sukar diramal dan akan berubah bila-bila masa sahaja.

Beliau juga mengatakan bahawa Indonesia cuba untuk mengambil wilayah di Borneo termasuk pulau-pulau di Filipina.  Namun beliau percaya walaupun gagal mendapat persetujuan dari Indonesia untuk mengundurkan tenteranya tetapi tentera Malaysia bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Berita tentang kegagalan sidang itu telah disampaikan oleh Ningkan kepada Menteri Hal Ehwal Sarawak, Temenggung Jugah. 

James Wong yang balik dari sidang kemuncak tersebut pada 24 Jun 1964 menyatakan bahawa Presiden Sukarno tidak mempunyai hasrat untuk berdamai dengan Malaysia.

Sidang Kemuncak Tokyo ini merupakan antara usaha untuk menamatkan ketegangan antara Malaysia dan Indonesia. 

Namun usaha ini tidak mencapai matlamatnya. Bagi Sarawak pula harapan kepada sidang itu tidak tinggi. 

Malah Sarawak tetap percaya bahawa tentera Malaysia bersiap sedia dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Ambil penerbangan awal pagi ketika monsun timur laut melanda

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.