
SIBU: Sidang Kemuncak Pekak Malaysia Pertama 2025 yang berlangsung di sini hari ini disifatkan sebagai penanda aras penting dalam usaha negara memperkukuh keterangkuman serta pengiktirafan terhadap komuniti Pekak.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata penganjuran julung kali itu bukan sekadar sebuah persidangan, sebaliknya mesej jelas bahawa sudah tiba masanya suara komuniti Pekak didengari dan diangkat dalam dasar negara.
“Selama berdekad-dekad, komuniti Pekak di Malaysia menggesa pengiktirafan, kesaksamaan dan keterangkuman sebenar. Namun terlalu kerap kebimbangan mereka diketepikan dan dasar digubal tanpa suara mereka.
“Hari ini, dengan berlangsungnya sidang kemuncak ini di Sarawak, kita menghantar mesej jelas kepada Malaysia dan dunia bahawa masa untuk mendengar telah tiba, masa untuk bertindak telah tiba, dan masa untuk membina sebuah Malaysia yang merangkul setiap warganya sama ada Pekak mahupun mendengar juga telah tiba,” katanya ketika merasmikan persidangan itu di sebuah hotel terkemuka di sini.

Sidang kemuncak tersebut dianjurkan Pertubuhan Kebangsaan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak (DAWN) dengan kerjasama Persatuan Perkhidmatan Komuniti Pekak Sarawak (SDCSA).
Bertemakan “Mengembalikan Ruang Pekak: Bahasa, Identiti, dan Kuasa Budaya”, persidangan itu memberi fokus kepada pengiktirafan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai bahasa utama komuniti Pekak serta peranan institusi pendidikan, majikan dan masyarakat dalam memperkukuh keterangkuman.
Mohammad Razi berkata kerajaan negeri dan persekutuan komited meningkatkan akses pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan perundangan untuk golongan orang kurang upaya (OKU), termasuk komuniti Pekak.
“Kita mengiktiraf kepentingan BIM sebagai bahasa hidup komuniti Pekak. Dialog berterusan perlu diadakan agar Malaysia bergerak ke arah pengiktirafan undang-undang dan dasar yang lebih kukuh bagi BIM,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa komuniti Pekak bukanlah golongan pasif, sebaliknya aktif, berbakat dan berdaya saing dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan, seni dan advokasi.
“Tugas kita sebagai kerajaan dan masyarakat ialah menghapuskan halangan yang tidak perlu. Apabila keterangkuman menjadi nyata, seluruh negara akan mendapat manfaat,” katanya.
Sidang kemuncak yang dihadiri peserta tempatan dan antarabangsa itu diharap menjadi titik perubahan dalam memperkukuh kesaksamaan dan keterangkuman komuniti Pekak di Malaysia.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Kebangsaan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia, Sariah Ibrahim; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Bahasa Isyarat Malaysia dan Kajian Pekak, Jessica Mak dan Pengerusi Penganjur Sidang Kemuncak Pekak Malaysia Pertama 2025 yang juga Pengerusi Persatuan Perkhidmatan Komuniti Pekak Sarawak, Albert Wong.
Oleh Tarani Lanting