
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China menawarkan peluang penting untuk integrasi ekonomi yang lebih baik antara blok ASEAN yang dianggotai 10 negara dan kuasa besar global seperti China dan negara-negara GCC, terutamanya dalam ketidaktentuan global yang meningkat, kata ahli ekonomi.
Ditubuhkan di Riyadh pada 1981, GCC terdiri daripada enam negara anggota — Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Oman.
Penolong Profesor Ekonomi Perniagaan di University of Nottingham Malaysia Dr Tan Chee Meng berkata sidang kemuncak itu, yang mewakili hampir suku daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, bukan sahaja boleh menjadi platform strategik untuk kerjasama serantau, malah sebagai pelan tindakan bagi kerjasama ekonomi global yang lebih meluas.
“Ini boleh menjadi model yang dapat menarik blok perdagangan lain untuk bekerjasama dalam membina ekonomi global yang lebih saling berhubung dan berdaya tahan,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan di sini.
Sebagai pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China akan berlangsung pada 27 Mei, bersama-sama dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, menjadi platform penting untuk memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.
Pendirian berkecuali ASEAN memberikannya kelebihan untuk menarik pihak lain kepada kerjasama ekonomi yang membina.
“Apa yang berlaku sekarang ialah bagaimana kita dapat bekerjasama dengan lebih erat untuk membina kerjasama bersama — berbincang mengenai kemakmuran bersama — bagaimana kita dapat bersaing dalam menghadapi ketidaktentuan dari Barat, terutamanya Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama ekonomi dalam memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai destinasi perdagangan yang kompetitif dan menarik.
Menurut Bank Dunia, gabungan KDNK tahunan ASEAN, GCC dan China berjumlah AS$23.70 trilion (AS$1=RM4.25) pada 2023, menyumbang 22.3 peratus daripada jumlah KDNK dunia pada tahun yang sama.
ASEAN, GCC dan China turut membentuk pasaran yang besar dengan gabungan populasi kira-kira 2.15 bilion orang.– Bernama