KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat mencadangkan untuk menggabungkan tiga sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah untuk dibina sekolah berpusat bagi masyarakat sekitar kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Jagau, SK Nanga Nirok dan SK Nanga Balingau yang kerap terjejas ekoran banjir.
“Ketiga-tiga sekolah ini sering dilanda banjir. Hal ini kerana berada di tebing sungai dan kawasan garisan rendah.
“SK Nanga Jagau dibina pada 1956, SK Nanga Nirok (1948) dan SK Nanga Balingau (1960). Semua dibina sebelum merdeka, semasa zaman penjajah. Oleh itu, sekolah ini kerap dilanda banjir,” katanya ketika menjawab pertanyaan Anyi Jana (GPS-Ngemah) pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Selain itu, katanya, pihak Jabatan Pelajaran Sarawak telah mencadangkan untuk menempatkan semula sekolah ini ke kawasan yang lebih baik
“Namun, tapak baharu itu tidak begitu sesuai dan saya ingin mengajak Yang Berhormat (Anyi Jana) bersama-sama dengan kami untuk mencari tempat yang lebih baik, untuk menempatkan semula sekolah ini supaya ketiga-tiga sekolah yang benar-benar terjejas oleh banjir dapat dibina secepat mungkin,” katanya lagi.
Katanya, cadangan penggabungan tiga sekolah ini diutarakan kerana ia dikategorikan sebagai sekolah yang mempunyai kadar kemasukan pelajar yang rendah, masih di bawah 150 pelajar.
“SK Nanga Jagau mempunyai 26 murid, SK Nanga Nirok (28 murid) dan SK Nanga Balingau (88 murid). Ini bermakna sekolah tersebut dikategorikan di bawah sekolah kurang murid (SKM)Walaupun anda menjumlahkan semua murid, ia masih di bawah 150 murid.
“Oleh itu, penyelesaian terbaik adalah dengan menggabungkan sekolah-sekolah ini dan membina sekolah berpusat untuk kawasan komuniti kawasan ini,” katanya.
Katanya, perlu diingat bahawa sebarang penutupan sekolah , pasti dipersetujui oleh komuniti.
Justeru, beliau menggesa agar Anyi Jana untuk meyakinkan penduduk di kawasan tersebut dengan penyelesaian terbaik adalah dengan menggabungkan ketiga-tiga sekolah ini agar murid dapat belajar dengan sihat, kondusif dan berdaya saing di kalangan mereka dari segi kokurikulum dan bukan kokurikulum.
Oleh NUR AIN OTSMAN