KUCHING: Bandar Raya Kuching mencatatkan projek tukar syarat dan pecah bahagi tanah atau Permohonan untuk Perubahan Syarat-Syarat (AVTC) untuk pelbagai kegunaan yang belum dikeluarkan surat hakmilik tertinggi iaitu sebanyak 104 projek.
Ini disebabkan Memorandum Penyerahan dan Pengalihan (MOSA) atau Memorandum Penyerahan dan Pengalihan Semula (MOSRA) tidak dimeterai dan tiada pembayaran premium dan lain-lain fi oleh pemaju projek.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, 104 projek berkenaan melibatkan 2,779 lot dengan premium tanah dan fi berjumlah RM39.7 juta.
“Ini berdasarkan laporan setakat 30 April 2023 yang mana jumlah projek tukar syarat dan pecah bahagi tanah atau AVTC untuk pelbagai kegunaan seperti kediaman, komersil dan industri yang belum dikeluarkan surat hakmilik di Bahagian Sibu disebabkan MOSA atau MOSRA tidak dimeterai dan tiada pembayaran premium tanah dan lain-lain fi oleh pemaju projek adalah sebanyak 41 projek yang melibatkan 1,021 lot.
“Jumlah premium yang terlibat dan belum dibayar adalah melebihi RM12 juta manakala jumlah fi yang berkaitan adalah RM43,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chieng Jin Ek (GPS – Bukit Assek) pada sesi soal jawab Persidangan Hari Kedua Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Katanya lagi, selain Kuching dan Sibu, Sri Aman turut mengalami isu yang sama iaitu 10 projek 208 lot dengan premium tanah dan fi berjumlah RM541,067; Miri (lapan projek 28 lot dengan premium tanah berjumlah dan fi RM510,964.00); Sarikei (tujuh projek 109 lot dengan premium tanah dan fi berjumlah RM233,424); Limbang (empat projek 20 lot dengan premium tanah dan fi berjumlah RM189,587); Samarahan (tiga projek 56 lot dengan premium tanah dan fi berjumlah RM1 juta).
Selain itu, isu ini turut melibatkan Mukah (dua projek 45 lot dengan premium tanah dan fi berjumlah RM43,280); Serian (dua projek 33 lot dengan premium tanah dan fi berjumlah RM643,867); Kapit (satu projek melibatkan satu lot dengan premium dan fi berjumlah RM6,696) dan Bintulu (satu projek empat lot dengan premium tanah dan fi berjumlah RM528,981) manakala Betong, tidak mencatatkan isu ini.
“Dalam pada itu, untuk DUN Bukit Assek, setakat 30 April 2023, jumlah lot yang telah dikeluarkan Permit Pekerjaan (OP) dan sijil jalan melebihi tiga tahun dan belum dikeluarkan surat hakmilik tanah di kawasan DUN Bukit Assek melibatkan lima projek dengan jumlah keseluruhan 447 lot. Ia melibatkan 333 lot kediaman, 100 lot komersil dan 14 lot industri.
“Bagi projek pembangunan sebelum 2018, pemaju hanya dibenarkan untuk mengemukakan permohonan untuk kelulusan mendepositkan pelan ukur ke Jabatan Tanah dan Survei (JTS) setelah memperolehi OP dan sijil jalan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Namun selaras dengan penambahbaikan proses kerja, bagi projek pembangunan selepas 2018, pemaju dibenarkan untuk mengemukakan permohonan mendepositkan pelan ukur sebelum pengeluaran OP dan sijil jalan,” katanya lagi.
Jelasnya, apabila kelulusan mendepositkan pelan ukur diperolehi, kelulusan berhubung terma dan syarat-syarat khas bagi pecah bahagi dan tukar syarat tanah atau AVTC akan dikemukakan kepada pemilik atau pemaju.
Pemilik atau pemaju perlu menyempurnakan MOSA atau MOSRA dan membuat pembayaran, premium tanah untuk dipertingkatkan, cukai tanah (jika ada) dan fi yang berkaitan sebelum surat hakmilik tanah dikeluarkan.
Berdasarkan piagam pelanggan jabatan, tempoh selama 56 hari bagi pengeluaran surat hakmilik dapat dilaksanakan daripada tarikh penyerahan MOSA atau MOSRA dan pembayaran premium dan fi berkaitan oleh pemilik atau pemaju kepada JTS.
Justeru, katanya, JTS menuntut kerjasama serta menggesa pemilik dan pemaju untuk mengambil tindakan khususnya berkaitan permeteraian dan pengembalian MOSA atau MOSRA serta menjelaskan segala bayaran yang dikenakan sebelum pengeluaran surat hakmilik tanah dapat dilaksanakan.
Oleh NUR AIN OTSMAN