KUCHING: Perolehan input pertanian secara pukal oleh Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) adalah salah satu langkah kerajaan untuk menangani kos input pertanian seperti baja, racun mahupun alatan pertanian yang saban hari semakin meningkat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Martin Ben berkata, perkara ini bertujuan menawarkan harga yang kompetitif kepada ahli-ahli pertubuhan peladang kawasan.
“Malah, kita turut memperkasakan perkhidmatan pengembangan pertanian.
“Jabatan Pertanian dan Perkhidmatan Veterinar Sarawak turut menggiatkan penerapan Amalan Pertanian Baik dan Amalan Penternakan Baik di kalangan petani dan penternak,” katanya ketika menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Kennedy Chukpai Ugon (GPS – Murum) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, hari ini.
Jelasnya, amalan ini akan membantu petani dan penternak untuk mengelakkan pembaziran dan mengurangkan kos serta meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka.
Sementara itu, menjawab bagi perkara status pembinaan Stesen Pertanian dan Pusat Pengumpulan di DUN Marum, beliau berkata pelaksanaan kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Bagi Stesen Tegulang, sedang dalam pembinaan dan kini telah mencapai prestasi fizikal sebanyak 56 peratus.
“Pembangunan Stesen Pertanian Sungai Asap pula adalah di peringkat penyediaan dokumen tender sementara Steen Pertanian Metalun adalah dalam peringkat penyediaan rekabentuk bangunan.
“Setakat in Kerajaan belum mempunyai perancangan untuk membina Pusat Pengumpulan di kawasan DUN Murum,” katanya.
Jelasnya, walau bagaimanapun, Kerajaan akan mempertimbangkan pembinaan Pusat Pengumpulan sekiranya ada keperluan yang jelas.
Oleh NICKELYSON LAKUN