KUCHING: Pembangunan Perkampungan Warisan Budaya di Mukah akan disyor sebagai keutamaan untuk dimasukkan dalam senarai pembangunan pelancongan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, perkampungan tersebut akan mengandungi komponen seperti muzium dan pusat kebudayaan yang menyerupai istana budaya.
“Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menyambut baik cadangan mewujudkan Perkampungan Warisan Budaya dan mengesyorkan ia dimasukkan kedalam perancangan yang diberi keutamaan dibawah senarai pembangunan pelancongan dibawah RADDA.
“Ia boleh menjadi ikon baharu untuk pelancongan kebudayaan di kawasan tengah Sarawak,” katanya ketika menjawab pertanyaan Royston Valentine (GPS-Tellian) pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Katanya lagi, MTCP telah bekerjasama dengan Lembaga Amanah Kebajikan Melanau, Oya (LAKMO) dalam usaha menjadikan Mukah sebagai kawasan tarikan utama pelancong.
“Mukah sebagai salah satu destinasi pelancongan utama bagi Sarawak bakal dibangunkan untuk mengetengahkan budaya dan warisan Melanau sekali gus menarik lebih banyak pelancong ke daerah tersebut.
“Kementerian kami bekerjasama rapat dengan Lembaga Amanah Kebajikan Melanau, Oya (LAKMO) dalam membangunkan Galeri Warisan Melanau di Mukah di mana galeri yang mengetengahkan budaya dan warisan Melanau ini dijangka akan siap tahun ini,” katanya lagi.
Katanya, inisiatif lain MTCP untuk menaikkan budaya Melanau termasuk penajaan filem, dokumentari dan fotografi yang berorientasikan budaya Melanau melalui Geran Acara di mana hasil filem, dokumentari dan fotografi Melanau ini bakal ditayangkan dan dipamerkan dengan meluas melalui media cetak, media sosial dan festival perfileman.
Oleh NUR AIN OTSMAN