KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta untuk membantu mempromosikan beras Adan sekali gus melaksanakan program untuk menggalakkan petani menghasilkan beras ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ kelalan Baru Bian berkata, beliau percaya pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang penting bagi penduduk kawasan Ba’ kelalan.
“Hal ini kerana kita mempunyai tanah yang paling subur di Sarawak. Melihat kepada pemprosesan hiliran adalah satu cara, seperti menghasilkan minuman, bijirin sarapan pagi, makanan bayi, susu beras dan produk lain daripada beras hitam dan merah kami yang kaya dengan nutrien dan anti-oksidan.
“Di Thailand, beras digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk penjagaan kulit dan kecantikan, serta bahan perubatan seperti span dan tompok pembalut luka. Kita harus melihat melakukan perkara yang sama di sini dengan beras Adan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Oleh itu, beliau meminta kerajaan memberi tumpuan kepada pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran beras di Ba’ kelalan.
“Ini kerana ia akan meningkatkan taraf hidup rakyat. Menanam padi adalah sifat kedua bagi kami, dan dengan sedikit galakan daripada kerajaan, ia boleh menjadi aktiviti ekonomi utama bagi rantau ini dan sekali lagi mengingati bahawa Nusantara hanya bersebelahan dengan Ba’kelalan,” katanya.
Beras Adan merupakan kebanggaan Bumi Kenyalang dan memiliki ciri-ciri fizikal yang hampir sama dengan Beras Bario.
Sehingga hari ini, padi ini masih ditanam secara tradisional oleh suku kaum Lun Bawang dan Long Semadoh di Ba’ kelalan dan kaum Kelabit di Bario.
Penanaman dan pegeluaran beras ini secara organik menjadikan ia produk tempatan bermutu tinggi yang turut mendapat permintaan tinggi di kalangan penduduk di Semenanjung Malaysia.
Oleh NUR AIN OTSMAN