KUCHING: Peratusan kadar premium yang dikenakan ke atas pemberimilikan tanah kerajaan bagi kegunaan komersil, industri dan perumahan adalah tertakluk kepada lokasi tanah.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, bagi tanah yang terletak di bandar utama seperti kawasan Kuching, Batu Kitang, Padawan, Samarahan, Serian, Sibu, Miri dan Bintulu premium yang dikenakan adalah 100 peratus daripada nilai pasaran.
“Bagi pemberimilikan tanah kerajaan di bandar-bandar lain, peratusan kadar premium yang dikenakan bagi kegunaan komersil dan industry adalah seperti, Tanah Bandar dan Tanah Pinggir Bandar adalah 51 peratus daripada nilai pasaran dan Tanah Desa ( 25 peratus daripada nilai pasaran),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Hamzah Brahim (GPS-Stakan) pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Katanya lagi, peratusan kadar premium yang dikenakan bagi kegunaan perumahan (dwelling house) pula adalah seperti, Tanah Bandar adalah 40 peratus daripada nilai pasaran, Tanah Pinggir Bandar (30 peratus daripada nilai pasaran) dan Tanah Desa (25 peratus daripada nilai pasaran).
Ditanya apakah tindakan pihak kerajaan kepada pemilik-pemilik tanah khususnya syarikat besar yang telah dianugerahkan pemilik tanah buat sekian lama namun tidak diusahakan sekali gus merencatkan perancangan di kawasan tersebut?
Beliau memberitahu dalam syarat-syarat khas surat hakmilik tanah ada ditetapkan tempoh pembangunan yang perlu dipatuhi tertakluk kepada kegunaan dan keluasan tanah yang diberimilik.
“Sekiranya pemilik tanah gagal untuk memenuhi syarat-syarat pembangunan yang ditetapkan, tindakan pelucutan hak (re-entry) ke atas tanah tersebut boleh diambil selaras dengan peruntukan seksyen 33 Kanun Tanah Sarawak,” katanya.
Jelasnya lagi, mana-mana tanah yang ditarikbalik menurut seksyen 33 Kanun Tanah Sarawak, akan kembali menjadi Tanah Kerajaan Berdaftar.
“Oleh demikian, mana-mana pihak yang berminat untuk memohon tanah tersebut bagi pembangunan bolehlah memohon untuk tujuan pemberimilikan.
“Walau bagaimanapun, pertimbangan untuk memberimilik adalah tertakluk kepada perancangan kerajaan ke atas tanah tersebut serta pemohon memenuhi syarat dan kriteria pemberimilikan yang ditetapkan,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN