KUCHING: Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) telah diaktifkan semula untuk membantu menyelesaikan isu kerakyatan kanak-kanak di Sarawak.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah pada persidangan hari kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 penggal kedua di sini, hari ini.
“Pengaktifan semula JKKSK telah dipersetujui oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) telah diaktifkan semula atas persetujuan Menteri Dalam Negeri pada 17 Januari tahun ini dibawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Peringkat Sarawak.
“Pada 9 Mac lepas, sebanyak 146 daripada 946 permohonan yang tertunggak telah dibentang dan diberi keputusan dalam Mesyuarat JKKSK Bilangan 1/2023 dan baki permohonan akan dibentangkan pada Jun depan,”katanya.
Resit rasmi bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan boleh digunakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak
“Ia sebagai pengesahan pengenalan diri kanak-kanak untuk tujuan persekolahan dan mendapat perkhidmatan kesihatan di Sarawak.
“Kerajaan Sarawak turut berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan mengeluarkan Dokumen Sementara Individu Tanpa Warganegara di Sarawak (DSITKS).
“Dengan adanya DSITKS digunakan sebagai identiti khusus bagi mendapat akses kepada perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan.”
Beliau turut menegaskan bahawa dokumen tersebut tidak memberi hak atau janji untuk pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada pemegangnya.
Oleh Azreen Keria