KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak telah menetapkan reka bentuk standard dan kerja-kerja penyelenggaraan yang perlu dilakukan berpandukan kepada garis panduan Pembalakan Berimpak Rendah.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, ia bagi memastikan jalan balak sedia ada dan baharu di negeri ini, dibina dan diselenggara oleh pihak pelesen balak dengan efisien terutamanya di kawasan Unit Pengurusan Hutan (FMU).
“Tambahan pula, undang-undang memandu di kawasan pembalakan adalah berbeza dengan jalan awam.
“Oleh itu, papan tanda yang menunjukkan arah pemanduan betul di sepanjang jalan balak adalah wajib disediakan oleh pihak pelesen balak untuk tujuan keselamatan penggunaan oleh orang awam dan kakitangan kerajaan yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Hari Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 penggal kedua di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, terdapat beberapa jalan balak telah dan akan diambil alih serta diselenggara dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.
“Jalan-jalan balak ini adalah jalan yang telah ditinggalkan oleh pelesen balak setelah operasi pembalakan mereka tamat di kawasan berkenaan.
“…Dan jalan jalan ini akan diselenggarakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR).”
Mengulas mengenai projek berimpak tinggi di kawasan pedalaman seperti Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) adakah akan dikenakan caj bagi penggunaan jalan balak sedia ada, Datuk Len menjelaskan bahawa tiada sebarang caj dikenakan.
“Ini bagi penggunaan jalan balak melibatkan semua Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan ProjekTransformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos projek bernilai RM200,000 dan ke bawah.
“Manakala bagi projek MRP dan RTP bernilai RM200,000 ke atas, kadar rata sebanyak RM3 per kilometer bagi setiap kenderaan untuk satu perjalanan pergi dan balik (round trip) akan dikenakan.”
Kerajaan Sarawak amat prihatin terhadap keselamatan orang awam yang menggunakan jalan balak terutamanya di kawasan pedalaman.
Tambahnya, kerja-kerja penyelenggaraan jalan balak secara kerap dan berkala diperlukan bagi memastikan jalan berkenaan sentiasa selamat untuk digunakan.
Oleh Azreen Keria