PETRA JAYA: Mesyuarat Kedua bagi Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula hari ini sehingga 20 November nanti.
Pada sidang kali ini, empat Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang.
Antara RUU yang akan dibentangkan ialah RUU Perbekalan Belanjawan Sarawak 2025, yang akan dibentangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan RUU Perbekalan Tambahan 2024, yang akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Selain itu, RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, manakala RUU Pengagihan Gas (Pindaan) 2024 akan dibentangkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
Pembentangan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar ini bertujuan untuk mengambil alih kuasa pengurusan sisa di wilayah ini, yang kini di bawah Kerajaan Pusat, dan bermula 1 Januari 2025, Jabatan Alam Sekitar akan menyerahkan kuasa mengawal selia dan menguruskan sisa kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB).
Sebarang aktiviti yang melibatkan pembuangan sisa, seperti sisa logam, bateri, sisa buangan elektronik dan sebagainya, akan diserahkan kepada pihak berkuasa negeri.
Perintah Tetap DUN Sarawak juga akan dipinda melalui satu usul yang akan dibentangkan, kerana Perintah Tetap sedia ada tidak lagi relevan dan tidak memadai untuk menangani cabaran semasa.
Usul tersebut akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Oleh MOHD NEENATUL AIZAL