SHAH ALAM: Kemungkinan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diawalkan ke Oktober depan tidak wajar ditafsirkan sebagai petunjuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan pada November, kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, persidangan DUN Sarawak sememangnya diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun, justeru perubahan daripada November kepada Oktober tidak seharusnya dikaitkan dengan spekulasi tarikh PRN.
“Saya pun melihatnya seperti begitu. Selalunya persidangan Dewan dibuat dalam bulan November. Kali ini kemungkinan dalam bulan Oktober selepas Bajet Nasional.
“Tidak menjadi satu perkara yang menghairankan kerana di Sarawak selalunya persidangan Dewan dibuat dua kali,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan acara terjun di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di sini hari ini.
Ditanya mengenai spekulasi PRN Sarawak mungkin diadakan pada November sekiranya persidangan DUN diawalkan, Abdul Karim berkata beliau tidak melihat perkara itu daripada perspektif berkenaan.
“Itu adalah hak Premier. Kalau dia diawalkan, kemungkinan ada sebab-sebab tertentu, tapi saya tidak melihatnya dari perspektif itu.
“Saya melihatnya lebih kepada proses persidangan Dewan itu perlu diadakan sekurang-kurangnya dua kali dalam satu tahun,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata pelaksanaan pilihan raya menggunakan 99 kerusi DUN pada penghujung tahun ini berdepan kekangan dari segi tempoh dan proses persempadanan yang perlu dilalui.
Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih perlu mempamerkan cadangan persempadanan terlebih dahulu, yang menurutnya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum proses seterusnya dapat dilaksanakan.
“Secara teknikal, saya rasa dari segi proses agak sukar. Bukan ia tidak dapat, kerana saya melihat SPR sudah berniat untuk mempamerkan jumlah kerusi itu.
“Tapi masalahnya proses mempamerkan itu makan masa. Sekurang-kurangnya kalau tidak silap saya tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata tempoh berkenaan berkemungkinan tidak mencukupi untuk membolehkan PRN Sarawak diadakan menggunakan jumlah 99 kerusi yang telah diluluskan DUN Sarawak.
Menurutnya, Rang Undang-Undang berkaitan penambahan kerusi DUN daripada 82 kepada 99 itu telah diluluskan hampir sebulat suara dan kini masih menunggu proses seterusnya membabitkan SPR serta Parlimen.
“Saya yang membentangkan Rang Undang-Undang itu dulu. Ia sudah diluluskan hampir sebulat suara oleh Dewan Undangan Negeri.“
Hanya menunggu SPR dan pengesahan di Parlimen. Tapi jangka masa dan proses itu yang kemungkinan tidak akan dapat membenarkan ia diadakan sebelum penghujung tahun ini,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat





