SIBU: Penganjuran Festival Muzik Sungai Rajang (RRMF) menjadi platform untuk mempamerkan bakat tempatan, memupuk idea baharu dan meletakkan bandar Sibu sebagai hab untuk ekspresi artistik.
Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling berkata, sokongan berterusan kepada artis dapat membuka potensi penuh industri hiburan.
Menurutnya, ia termasuk platform seperti festival ini, tetapi ia juga bermakna melabur dalam pendidikan kreatif, memupuk perkongsian awam dan swasta.
“Memastikan akses kepada teknologi dan sumber yang boleh meningkatkan karya artis kami ke standard global.
“Bagaimanapun, kita jangan lupa bahawa kreativiti berkembang subur dalam komuniti yang meraikan seninya dan menyokong penciptanya. Itulah sebabnya kehadiran anda di sini hari ini sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran RRMF di Pusat Warisan Sibu, malam tadi.
Katanya, para pengunjung program tersebut bukan sahaja menikmati persembahan muzik yang hebat, mereka juga boleh mengambil bahagian dalam pertumbuhan fabrik budaya Sibu.
“Marilah kita ingat bahawa setiap not yang dimainkan, setiap lirik yang dinyanyikan dan setiap tarian yang dipersembahkan adalah satu langkah ke arah menjadikan Sibu sebagai mercu tanda budaya dan hiburan.
“Perjalanan ke hadapan memerlukan kerjasama, usaha kolektif untuk meningkatkan bakat tempatan, menyediakan platform untuk ekspresi kreatif, dan meneroka cara baharu untuk mengintegrasikan budaya, teknologi dan seni,” kata beliau.
Sementara itu, pengerusi penganjur, Christopher Ling berkata, edisi pertama RRMF akan berlangsung pada 18 hingga 19 Januari 2025 di Robert’s Wooden House.
Menurutnya, MICROWAVE pada 2025 ke arah untuk mengembangkan batas-batas masyarakat agar potensi dalam bidang kreatif dapat berkembang di Sibu, supaya lebih banyak perbincangan dapat terjalin antara masyarakat.
“RRMF diilhamkan oleh sungai terpanjang di Malaysia, yang mengalir melalui jiwa tanah ini.
“Selama berabad-abad, Sungai Rajang telah menghubungkan orang, kampung, dan budaya yang pelbagai di seluruh Borneo, menganyam bersama kisah warisan dan kesatuan, dan berfungsi sebagai metafora bagi cara muzik menghubungkan hati, minda, dan komuniti.
“Festival Muzik Sungai Rajang lahir daripada simbol yang kuat ini. Seperti aliran sungai yang mengalir melalui kawasan tengah Sarawak, festival muzik ini juga melibatkan pengalaman seni, pameran tatu, dan pameran inovasi budaya.
“Ia adalah perayaan muzik, kepelbagaian, dan budaya yang kaya yang mentakrifkan Sibu sebagai pusat budaya di Sarawak,” kata beliau.
Oleh Akun Giman