SIBU: Penganjuran Sibu RC PowerBoat Race River Challenge 2024 bukan sahaja mengangkat Sibu sebagai destinasi pilihan aktiviti sukan air, tetapi mempromosikan keunikan budaya, warisan, dan keindahan alam semula jadi kawasan ini kepada dunia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing amat menghargai inisiatif seperti ini kerana ia menyokong agenda negara dalam mempromosikan pelancongan tempatan.
Menurutnya, acara ini bukan sekadar medan persaingan tetapi juga peluang untuk merapatkan hubungan komuniti, meningkatkan sektor pelancongan, dan membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Sibu, terkenal dengan keunikan Sungai Rajang yang merupakan sungai terpanjang di Malaysia dengan 773 kilometer telah menjadikannya lokasi tepat untuk penganjuran acara seperti ini.
“Sungai Rajang, bukan sahaja menjadi nadi utama kehidupan masyarakat tetapi juga simbol kekayaan budaya dan tradisi Sarawak. Melalui acara ini, kita bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam tetapi juga menonjolkan potensi sukan air sebagai tarikan pelancongan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Pegawai Khasnya, Agatha Ting mewakilinya merasmikan acara tersebut di Tebingan Pulau Li Hua, hari ini.
Tiong yang juga ADUN Dudong berkata, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan terus memberikan sokongan padu terhadap inisiatif seperti ini.
“Kami komited untuk memperkasa sektor pelancongan sukan, termasuk sukan air, sebagai komponen utama dalam industri pelancongan negara yang secara tidak langsung dapat meningkatkan promosi antarabangsa melalui platform digital dan kempen pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong luar ke Sarawak,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pelancongan sukan bukan hanya memberi manfaat kepada sektor pelancongan semata-mata tetapi turut dapat mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan penduduk setempat, dan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
“Saya percaya acara ini akan terus berkembang menjadi acara tahunan yang lebih besar dan berprestij, serta mampu menarik lebih ramai peserta dan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Dengan sokongan padu daripada semua pihak, saya yakin ia akan memberi impak positif kepada pembangunan pelancongan dan ekonomi Sibu,” kata beliau.
Acara tersebut turut mendapat penyertaan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Brunei, selain peserta tempatan dengan sebanyak 516 bot kawalan pada tahun ini.
Pada tahun depan, acara tersebut mensasarkan penyertaan lebih 1,000 bot kawalan jauh.
Oleh Akun Giman