
SIBU: Penganjuran Forum Belia Blast 2025 yang julung kali diadakan di sini diyakini mampu memposisikan bandar ini sebagai pusat seni kreatif, pertukaran budaya serta pemerkasaan belia di rantau ASEAN.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata forum berkenaan bukan sahaja berkaitan tarian moden seperti K-pop, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap pembangunan belia, kreativiti dan pembinaan komuniti.
“Menerusi tarian, khususnya K-pop, belia dapat mempelajari disiplin, kerja berpasukan, ketekunan dan keberanian mengekspresikan diri.
“Ia juga membantu membina keyakinan diri, mengejar minat secara positif serta memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental,” katanya ketika merasmikan program tersebut di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa forum tersebut menjadi wadah penting dalam mengeratkan persahabatan dan persefahaman rentas negara melalui bahasa sejagat seni tari, dengan penyertaan peserta dan penceramah dari Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura dan negara-negara ASEAN lain.

“Dalam dunia hari ini, kepelbagaian budaya adalah kekuatan kita, dan acara seperti ini membuktikan bahawa seni mampu menyatukan kita melangkaui sempadan,” katanya.
Chieng berkata beliau berharap forum berkenaan dapat dikembangkan menjadi acara tahunan ikonik yang menghimpunkan peminat K-pop, penari dan penggiat kreatif bukan sahaja dari Malaysia malah seluruh ASEAN.
“Kesinambungan penganjuran ini bukan sahaja akan melahirkan generasi belia berkeyakinan dan berdisiplin, malah membina ekosistem seni persembahan yang mampan serta meletakkan Sibu sebagai titik pertemuan budaya,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Penganjur Forum Belia Blast 2025 Jasmine Tou, Pengerusi Kelab Penggiat Seni Kreatif Sibu Zon Hii dan Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Business Events Sarawak (BESarawak), Donny Tan Yee.
Oleh Tarani Lanting