Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sibu miliki Pusat Sokongan Sosial Komuniti kedua di Sarawak
  • SEMASA

Sibu miliki Pusat Sokongan Sosial Komuniti kedua di Sarawak

Utusan Sarawak 17 hours ago
UNTUK ALBUM… Dato’ Sri Fatimah Abdullah (duduk tengah) merakam kenangan bersama tetamu yang lain pada majlis pelancaran Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC), hari ini.

SIBU: Hasrat kerajaan negeri untuk memperluas penubuhan Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) akhirnya direalisasikan di Sibu, menjadikannya pusat kedua seumpamanya selepas Kuching.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, berkata penubuhan CSSC Sibu melambangkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan sokongan sosial melalui pendekatan bersepadu bersama pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Hasrat kita untuk menubuhkan CSSC di Sibu akhirnya menjadi kenyataan pada hari yang bersejarah ini. CSSC mesti berada di tengah-tengah komuniti, agar mudah diakses dan benar-benar menjadi tempat sokongan bagi masyarakat setempat,” katanya semasa majlis pelancaran pusat itu, di sini hari ini.

Fatimah berkata, CSSC Sibu dilengkapi kemudahan seperti bilik mesyuarat dan bilik aktiviti yang boleh digunakan NGO, ketua masyarakat serta agensi kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program komuniti.

Menurutnya, keunikan CSSC bukan sekadar sebagai pusat rujukan tetapi turut berfungsi sebagai ruang komuniti terbuka dan percuma bagi aktiviti sosial, advokasi serta kebajikan.

Beliau berkata, beberapa komponen turut diwujudkan di bawah CSSC Sibu termasuk bank makanan, ‘Safe Place’ dan ‘Soup Kitchen’ bagi membantu golongan memerlukan.

“Bank makanan akan berfungsi seperti pasar mini yang membolehkan keluarga kurang berkemampuan mendapatkan keperluan asas, manakala ‘Safe Place’ disediakan sebagai tempat perlindungan sementara bagi mangsa keganasan rumah tangga sebelum tindakan lanjut diambil,” jelasnya.

RASMI… Dato’ Sri Fatimah Abdullah menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC), hari ini.

Katanya, kementerian kini sedang menunggu NGO yang bersedia mengendalikan ‘Soup Kitchen’ bagi membantu golongan miskin bandar, sebagaimana model yang telah berjaya dilaksanakan di Kuching.

Fatimah menambah, CSSC juga akan menjadi pusat intervensi susulan kepada gelandangan yang diselamatkan melalui Operasi Bersepadu Menyelamat Orang Papa dan Gelandangan di bandar ini.

“Mereka yang diselamatkan ini akan diprofilkan dan diberikan intervensi susulan di CSSC Sibu. Inilah kesinambungan antara Tempat Transit Gelandangan (TTG) dan CSSC, apa yang kita mula di lapangan akan diteruskan dengan pemulihan dan pemantauan di pusat ini,” katanya.

Menurut beliau, statistik semasa menunjukkan Sibu mencatatkan 1,180 kes penyalahgunaan dadah, 634 kes jenayah harta benda, 351 kes jenayah siber, 261 kes kehamilan remaja dan 68 kes jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak yang menggambarkan keperluan mendesak untuk kerjasama antara agensi dalam menangani isu sosial.

“Untuk isu kehamilan remaja misalnya, CSSC akan menjadi platform utama bagi program advokasi bersama Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan dan Jabatan Pendidikan agar remaja memahami implikasi kesihatan dan masa depan mereka,” ujarnya.

Fatimah berharap CSSC Sibu bukan sekadar menjadi bangunan, tetapi benar-benar dimanfaatkan oleh komuniti setempat sebagai simbol komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya kumpulan rentan.

Oleh Tarani Lanting

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Penanaman pokok ensurai dicadang dalam PCDS 2030 Sarawak – Abang Johari
Next: Malaysia lakar sejarah, dipilih Ahli Lembaga UNESCO bagi penggal 2025-2029

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.