
SIBU: Pasukan bola tampar Sibu merangkul gelaran johan bagi kategori Lelaki 18 Tahun Ke Bawah (TKB) dan kategori Lelaki 12TKB dalam Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Sarawak 2025.
Dalam pada itu, pasukan bola tampar Sarikei turut mencatatkan kecemerlangan apabila meraih naib johan bagi kategori Lelaki 18TKB dan Lelaki 12TKB.
Manakala, pasukan bola tampar Mukah dan Miri masing-masing mendapat tempat ketiga dan keempat bagi kategori Lelaki 18TKB.
Bagi kategori Lelaki 12TKB, pasukan bola tampar Miri dan Betong menduduki tempat ketiga dan keempat.
Kategori Perempuan 18TKB dan 12TKB menyaksikan pasukan bola tampar Sarikei unggul menampilkan kehebatan apabila meraih johan dalam kedua-dua kategori tersebut.
Pasukan bola tampar Miri mendapat gelaran naib johan, diikuti pasukan Mukah dan Sibu masing-masing mendapat tempat ketiga dan keempat.
Bagi kategori Perempuan 12TKB, pasukan bola tampar Sibu menewaskan pasukan Bintulu dan meraih naib johan, manakala pasukan Limbang mendapat tempat keempat.
Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming dalam ucapannya berkata, kejohanan telah berjaya mencapai objektifnya dalam mencungkil bakat muda dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar.
“Kejohanan ini dianjurkan untuk memberi peluang kepada pelajar mempamerkan bakat dan kemahiran dalam sukan bola tampar, di samping mencungkil serta membangunkan potensi atlet muda ke arah kecemerlangan di peringkat negeri dan kebangsaan,” ujarnya.
Selain itu, ia bertujuan memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan, disiplin, serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan peserta.
“Melalui penglibatan aktif dalam sukan, para pelajar turut digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat sambil mempereratkan hubungan persahabatan dan perpaduan antara sekolah-sekolah,” katanya.
Lau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Kevin Lau Kor Jie pada majlis penyampaian hadiah di SMK Methodist, Jumaat.
“Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan untuk menguji kehebatan dan kemahiran, malah turut berfungsi sebagai platform untuk membina persahabatan, memperkukuh semangat berpasukan, dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar kita,” katanya.
Katanya, sukan dilihat amat penting dalam perkembangan pelajar, menjadi wadah untuk mereka menonjolkan kebolehan serta mengembangkan potensi ke arah kecemerlangan.
“Selain keseronokan beraksi di gelanggang, sukan juga mendidik nilai-nilai berharga seperti disiplin, kerjasama, ketabahan, dan rasa hormat, yang menjadi asas kepada pembinaan komuniti yang lebih kukuh dan negara yang lebih bersatu,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan pemenang atas kejayaan yang diraih. Manakala kepada mereka yang belum berjaya, mereka digalakkan untuk terus berusaha dan tidak berputus asa.
“Anggaplah pengalaman ini sebagai batu loncatan untuk meningkatkan diri, kerana dalam dunia sukan, semangat juang dan usaha gigih adalah lebih utama daripada sekadar meraih kemenangan,” kata beliau.
Kejohanan yang bermula 22 hingga 25 April melibatkan penyertaan sembilan bahagian. Pasukan johan bakal mewakili Sarawak dalam kejohanan peringkat kebangsaan di Kedah.
Oleh Akun Giman