
SIBU: Sibu bakal menjadi tumpuan rakyat dari seluruh Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Julai depan.
Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak Tahun 2026, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sambutan bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur’ itu dijangka menghimpunkan ribuan pengunjung pelbagai kaum bagi meraikan sejarah pemerintahan sendiri Sarawak yang bermula pada 1963.
Menurut beliau, sebanyak tujuh acara utama akan berlangsung sepanjang sambutan tersebut, antaranya Karnival Jualan, Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain, Zumba, Majlis Kesyukuran di Masjid An-Nur, Unity Walk, Townhall serta acara kemuncak Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat.
“Pada Konsert Rakyat, kita turut menyediakan Pra-Persembahan dan Segmen Hiburan yang menampilkan artis tempatan seperti Ricky Anderson, Kelly, Claudia, Priscilla Abby dan Ericson, selain penampilan artis popular Mimi Fly,” katanya pada sidang media sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026 di Hotel RH, hari ini.
Beliau berkata, penganjuran sambutan di Sibu bukan sahaja dapat mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, malah mengiktiraf peranan bandar itu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan pembangunan strategik bagi Wilayah Tengah Sarawak.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dijadual menghadiri sambutan berkenaan sebagai tetamu kehormat, selain kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tambah beliau, Perhimpunan Sambutan Hari Sarawak 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi TVS saluran 122 MYTV, Unifi TV dan Astro Strim Live HD serta platform digital TVS dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Sehubungan itu, Lee turut menyeru orang ramai untuk hadir memeriahkan sambutan berkenaan di Dataran Tun Tuanku Bujang serta mengibarkan Bendera Sarawak di bangunan kerajaan, premis perniagaan, sekolah dan kediaman masing-masing sebagai tanda semangat dan kebanggaan terhadap Sarawak.
Oleh Tarani Lanting