
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar mempertimbangkan Sibu sebagai lokasi penganjuran acara bola tampar sempena temasya Sukan SEA 2027.
Menurut beliau, bandar ini mempunyai kapasiti dan kemudahan yang mencukupi untuk menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa, selain sejarah kecemerlangan dalam sukan bola tampar.
“Seperti yang kita semua maklum, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027, dan Sarawak akan menjadi salah satu tuan rumah bersama.
“Saya berharap sebagai tuan rumah bersama Sarawak akan dapat menganjurkan acara bola tampar di Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Jemputan Bola Tampar Antarabangsa Sarawak di Stadium Tertutup Bola Tampar Sibu semalam.
Chieng turut menyatakan bahawa Sibu merupakan antara kuasa besar bola tampar di Sarawak dan telah melahirkan ramai pemain kebangsaan.
“Kita mempunyai sejarah panjang dalam bola tampar serta sokongan kukuh daripada kerajaan. Maka saya yakin seluruh warga Sibu akan bersetuju dan mengalu-alukan sekiranya acara bola tampar Sukan SEA diadakan di sini,” katanya.
Di samping itu, beliau turut memuji persembahan cemerlang yang ditampilkan oleh pemain tempatan dan antarabangsa, yang diyakini dapat menyemarakkan semangat belia Sibu untuk menceburi bidang sukan.
“Kejohanan ini bukan sahaja mempamerkan kemahiran tinggi dalam bola tampar, malah turut menjadi platform untuk membina hubungan merentas negara dan wilayah,” katanya lagi.
Chieng turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bola Tampar Sarawak (SAVA) dan Persatuan Bola Tampar Sibu (SVA) atas kejayaan menganjurkan kejohanan berprestij tersebut, yang berjaya menarik penyertaan pelbagai pasukan dari dalam dan luar negara.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi SVA, Dato Moh Wung Ming.
Oleh Tarani Lanting