
SUBANG JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah selesai dan kini menunggu proses pertuduhan di mahkamah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya selesai merakam percakapan semua saksi bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan projek di sebuah kementerian melibatkan Muhammad Adlan yang kini dipercayai berada di Asia Barat dan seorang peguam Mansoor Saat.
“Kes ini telah selesai, satu-satunya perkara yang tinggal adalah kami mahu dia kembali (pulang ke Malaysia) kerana semua saksi telah dirakam percakapan, kami mahu mendakwa dia dan juga peguam (terbabit),” katanya selepas Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) ke-21 di sini hari ini.
Azam berkata pihaknya sedang menjejaki aset milik Muhammad Adlan di luar negara, namun mengakui proses itu mengambil masa dan bukan sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa negara lain.
Beliau berkata siasatan terhadap aset yang dikenal pasti hanya akan diteruskan sekiranya ia mempunyai kaitan langsung dengan kes yang sedang disiasat.
“Setakat ini, kami tiada jawapan sama ada dia menggunakan proksi atau tidak, itu di luar pengetahuan kami tetapi kami percaya dia mempunyai aset di luar negara… jika tidak, bagaimana dia mampu untuk tinggal di sana,” katanya.
Azam berkata pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengesan lokasi sebenar Muhammad Adlan, selepas pasportnya dibatalkan oleh Jabatan Imigresen dan kemungkinan dia bergerak ke luar negara menggunakan dokumen perjalanan lain.
Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang mengesan Muhammad Adlan dan Mansoor bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Mengenai mesyuarat ASEAN-PAC, Azam berkata ia memberi peluang kepada Malaysia khususnya SPRM untuk memainkan peranan utama dalam memperkukuh usaha membina integriti, ketelusan dan tadbir urus baik di rantau ini.
Azam berkata sebagai pengerusi mesyuarat itu, Malaysia bukan sahaja berperanan memimpin perbincangan tetapi turut membimbing 11 negara anggota lain dalam menghadapi cabaran membanteras rasuah selain masing-masing berkongsi amalan terbaik bagi membina masyarakat bebas rasuah.
Beliau berkata mesyuarat berkenaan turut meluluskan pelan tindakan ASEAN-PAC yang akan dikongsi bersama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) untuk dibentangkan pada Persidangan Negara-Negara Pihak (CoSP) di Doha, Qatar pada 14 Dis ini.
Azam berkata Malaysia akan terus mengetuai ASEAN-PAC sehingga November tahun depan sebelum menyerahkan jawatan pengerusi kepada Myanmar, dengan fokus terhadap usaha membina generasi belia bebas rasuah sebagai pemimpin masa depan.- Bernama