Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Siasatan kes Ismail Sabri selesai – SPRM
  • MAHKAMAH

Siasatan kes Ismail Sabri selesai – SPRM

Utusan Sarawak 12 hours ago
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah selesai, dan permohonan pelucuthakan aset berjumlah RM170 juta dijangka difailkan dalam tempoh dua minggu. 

PUTRAJAYA:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah selesai, dan permohonan pelucuthakan aset berjumlah RM170 juta dijangka difailkan dalam tempoh dua minggu. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk meneruskan permohonan melucutkan hak wang tunai berkenaan.

“Permohonan afidavit dan dokumen berkaitan sedang disediakan. Terpulang kepada Datuk Seri Ismail Sabri untuk mencabar permohonan kami itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Azam bagaimanapun menjelaskan belum ada keputusan dibuat setakat ini berhubung pertuduhan jenayah terhadap perdana menteri kesembilan itu. 

Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh pentadbirannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Azam berkata, SPRM turut mengambil keterangan daripada bekas menantu Ismail Sabri, Datuk Jovian Mandagie berhubung siasatan terhadap pemilikan aset membabitkan bekas perdana menteri itu.

Siasatan dibuat susulan arahan supaya Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009. Pengisytiharan itu dibuat pada 10 Februari lepas dan SPRM sedang menganalisis sumber perolehan aset berkenaan.

Susulan itu, SPRM merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ismail Sabri.

Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’, hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lepas.  — Bernama

Continue Reading

Previous: Dana Armada: Mahkamah Rayuan bebaskan Syed Saddiq
Next: Didakwa tipu wang derma pesakit, pekerja pusat hemodialisis mengaku tidak bersalah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.