
PUTRAJAYA: Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini memaklumkan siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya setakat ini hanya tertumpu kepada aspek prosedur dan keputusan usaha sama dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion.
Bercakap kepada pemberita di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini, beliau berkata sepanjang sesi rakaman keterangan, tiada soalan yang menyentuh tentang aliran wang atau bayaran seperti yang didakwa sebelum ini.
“Tidak ada (soalan mengenai transaksi kewangan) … setakat ini, tidak ada soalan yang bersabit mengenai transaksi. Soalan semua berkenaan keputusan usaha sama dan prosedur,” katanya.
Rafizi hadir ke ibu pejabat SPRM pada 1.50 tengah hari bagi meneruskan proses rakaman keterangan pada hari ketiga bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan Arm Holdings dari United Kingdom.
Dalam pada itu, Rafizi berkata sebarang keputusan untuk mencadangkan pertuduhan di mahkamah ialah hak SPRM, sebelum ditentukan oleh Peguam Negara berdasarkan penilaian terhadap kertas siasatan.
Pada Sabtu lepas, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar mengesahkan bahawa Rafizi dipanggil bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan kes terbabit yang dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan.
Dalam kenyataan berasingan, Mohd Hafaz berkata kehadiran Rafizi bertujuan memberikan kerjasama kepada SPRM dalam melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan. – Bernama