Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Siaran langsung kes rasuah berprofil tinggi perlu diteliti aspek undang-undang – Azalina
  • NASIONAL

Siaran langsung kes rasuah berprofil tinggi perlu diteliti aspek undang-undang – Azalina

Utusan Sarawak 5 hours ago
MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berucap pada Majlis Himpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 hari ini. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Cadangan untuk menyiarkan secara langsung prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi perlu diteliti dari sudut peruntukan undang-undang sedia ada sebelum dapat direalisasikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata setakat ini kebanyakan perbicaraan hanya direkodkan melalui rakaman suara, namun belum pernah ada kes yang disiarkan secara langsung.

“Saya tidak pasti dari segi peraturan undang-undang, tetapi ia perlu mendapat kebenaran mahkamah. Untuk siaran langsung perbicaraan, saya kena rujuk dahulu, kerana biasanya hanya dalam bentuk rakaman. Kalau rakaman suara, memang kebanyakan kes sudah ada.

“Bagaimanapun, jika perkara ini serius, ia perlu dibincangkan dengan Ketua Hakim Negara,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mencadangkan supaya prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses kehakiman.

Azam dilaporkan berkata langkah itu perlu memandangkan terdapat segelintir pihak yang menggunakan media sosial untuk memanipulasi fakta perbicaraan sehingga menimbulkan tohmahan yang tidak sepatutnya.

Dalam perkembangan lain, Azalina merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas cadangan menubuhkan sebuah Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.

“Itu keputusan Perdana Menteri, saya ucap terima kasih. Beliau mahu menilai perkara itu, jadi biarlah Perdana Menteri yang membuat keputusan,” katanya.

Cadangan penubuhan Kementerian Undang-Undang itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri pada 21 Ogos lepas.

Anwar berkata langkah berkenaan akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam usaha memperkukuh kedaulatan undang-undang, khususnya dengan negara anggota ASEAN.– Bernama

Continue Reading

Previous: Sarawak tuntut bayaran balik perbelanjaan negeri bagi projek Persekutuan
Next: Gempa bumi lemah 3.2 magnitud berlaku lagi di Segamat, Johor

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.