Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Siapa penyerang lebih baik – Haaland atau Isak
  • SUKAN

Siapa penyerang lebih baik – Haaland atau Isak

Utusan Sarawak 23 hours ago

Erling Haaland (kiri) berada "sedikit di atas" Alexander Isak - kata Pep Guardiola.

LONDON: Pep Guardiola berkata Erling Haaland berada “sedikit di atas” Alexander Isak apabila bos Manchester City itu menjawab dakwaan Arne Slot penyerang baharu Liverpool itu “mungkin penyerang terbaik di dunia.”

Isak dijangka membuat penampilan sulung bersama Liverpool di Burnley malam esok selepas bintang Sweden itu melengkapkan perpindahan rekod Britain bernilai £125 juta (RM712 juta) dari Newcastle pada hari terakhir jendela perpindahan.

Pengurus Liverpool, Slot memuji kualiti Isak selepas pemain berusia 25 tahun itu menjalani latihan bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama minggu ini.

Namun pandangannya Isak mungkin penyerang terbaik di dunia tidak disenangi bos City, Guardiola.

Haaland menjaringkan 88 gol dalam 100 perlawanan EPL bersama City sejak berpindah dari Borussia Dortmund pada tahun 2022, membantu mereka memenangi dua gelaran EPL, Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Isak pula berpindah ke Newcastle dari Real Sociedad pada 2022 dan menjaringkan 54 gol dalam 86 penampilan liga, membantu The Magpies menamatkan kemarau trofi selama 56 tahun dengan menjuarai Piala Liga musim lalu.

Guardiola segera menyokong Haaland sebagai yang terbaik semalam.

“Sedikit di atas,” katanya mengenai Haaland.

“Isak seorang pemain yang luar biasa. Anda tanya saya mengenai Erling dan dia berada di tahap teratas.

“Isak pastinya pemain bertaraf dunia berdasarkan jumlah yang mereka bayar. Ada yang lain akan kata (Kylian) Mbappe, ada (Lionel) Messi, Cristiano (Ronaldo).

“Saya tidak akan tukar Erling dengan sesiapa pun. Saya mengenalinya. Saya sukakannya.”

Guardiola pasti memerlukan Haaland berada pada tahap penyudah terbaiknya ketika City berusaha bangkit pada aksi musuh tetangga Manchester malam esok selepas tewas berturut-turut kepada Tottenham dan Brighton.

Selepas menamatkan musim lalu di tangga ketiga, Guardiola berharap pasukan baharunya dapat bermula garang tetapi mereka dibelenggu kecederaan dan masalah di benteng pertahanan.

City membawa masuk penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma dari Paris Saint-Germain untuk menggantikan Ederson yang meninggalkan Manchester selepas lapan tahun bersama kelab itu. – AFP

Continue Reading

Previous: Liverpool pasukan terkuat EPL – akui Arteta 
Next: United terus beri kepercayaan kepada Bayindir, Lammens belum diturunkan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.