SEKURANG-kurangnya sudah dua kali Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg secara terbuka menyebut beberapa Ahli Parlimen ada menyatakan hasrat untuk mengundur diri.
Kali pertama selepas beliau merasmikan sidang perwakilan tiga tahun sekali Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Sibu, April lalu. Terbaharu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching, Sabtu lalu.
Bagi kedua-dua ungkapan itu, Abang Johari lebih menjurus kepada Ahli Parlimen yang mewakili PBB, parti teras Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Bagaimanapun, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS dan Presiden PBB tidak mendedahkan jumlah sebenar Ahli Parlimen yang tidak mahu lagi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Apakah dalam tempoh empat bulan sejak April hingga Sabtu lalu, jumlah Ahli Parlimen yang mahu undur diri, sudah bertambah?
Malah, belum diketahui lagi sama ada Ahli Parlimen terbabit ada menemui Abang Johari secara bersemuka untuk menyatakan hasrat supaya tidak lagi dicalonkan pada PRU-15 nanti.
Secara umumnya, jika berdasarkan karenah ahli politik selama ini, lazimnya apabila ‘digertak’ wartawan, ahli politik antara lain akan menyatakan: “Saya serah pada pucuk pimpinan untuk menentukan,” “jika rakyat masih mahukan saya, saya sedia bertanding lagi.”. Ia merupakan jawapan selamat tetapi nadanya masih seperti lagu penyanyi Zaiton Sameon – ‘Menaruh Harapan’ dan ‘Menadah Impian’.
Di mana-mana negeri di Malaysia ini, ahli politik memang suka ‘membebankan’ pimpinan tertinggi parti masing-masing untuk memikirkan, walaupun sesetengahnya sudah uzur, dah terlalu lama jadi wakil rakyat tapi dah kurang efektif, masih juga mahu kekal. Hayatilah lagu ‘Time to say goodbye’ nyanyian Andrea Bocelli.
Amat jarang ada kenyataan berbunyi: “Saya undur untuk beri peluang pada orang muda” seperti mana situasi mereka apabila mula diberi peluang sebagai calon dahulu.
Satu lagi karenah orang politik ialah suka sangat menjaja nama rakyat. ‘Biar rakyat menentukan’. Memang betul rakyat yang menentukan melalui peti undi, tetapi sebagai calon ditentukan oleh pucuk pimpinan parti terlebih dahulu hatta parti pembangkang sekalipun.
Lainlah kalau nak jadi calon Bebas, baru betul ‘biar rakyat menentukan’ – lawan tetap lawan tetapi akhirnya ‘rakyat boleh menghilangkan deposit dia’.
Sudah semestinya pucuk pimpinan parti membuat keputusan memilih seseorang calon berdasarkan maklum balas rakyat di kawasan.
Di zaman ‘tik tok’ dan internet sekarang, rakyat tahu apa yang wakil rakyat mereka lakukan bukan sahaja sejak kebelakangan ini apabila dah dekat PRU-15, malah sejak selepas menang PRU14 2018 lagi.
Apapun, sehingga kini, belum ada pengesahan secara rasmi siapakah dalam kalangan 13 Ahli Parlimen mewakili PBB tidak lagi mempertahankan kerusi pada PRU-15.
Senarai Ahli Parlimen PBB adalah seperti berikut:
1. Datuk Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, 77, (Santubong) yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang). Menjadi Ahli Parlimen sejak 1990.
2. Datuk Sri Rohani Abdul Karim, 67 (Batang Lupar) adalah Penasihat Khas kepada Premier Sarawak. Menjadi Ahli Parlimen sejak 1990.
3. Datuk Henry Sum Agong, 76 (Lawas) yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan. Menjadi Ahli Parlimen sejak 1999.
4. Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, 64, (Kapit) yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, menjadi Ahli Parlimen sejak 1999.
5. Datuk Sri Fadillah Yusof, 60 (Petra Jaya), yang juga Menteri Kanan Kerja Raya, sudah menjadi Ahli Parlimen sejak Mac 2004.
6. Datuk Hasbi Habibollah, 59, (Limbang), Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, menjadi Ahli Parlimen sejak Mac 2008.
7. Datuk Sri Nancy Shukri, 61 (Batang Sadong) yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Menjadi Ahli Parlimen sejak 2008.
8. Datuk Rubiah Wang, 54 (Kota Samarahan) yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia. Menjadi Ahli Parlimen sejak 2013.
9. Datuk Robert Lawson Chuat, 64 (Betong) mula dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Saban pada 2006, dan buat kali pertama bertanding kerusi Parlimen Betong pada PRU 2018.
10. Yusuf Abdul Wahab, 58 (Tanjong Manis) adalah Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan. Kali pertama bertanding kerusi Parlimen Tanjong Manis pada 2018.
11. Ahmad Johnie Zawawi, 59 (Igan) dilantik Pengerusi bukan eksekutif Indah Water sejak 2020. Kali pertama bertanding kerusi Parlimen Igan pada 2018.
12. Datuk Hanifah Hajar Taib, 50 (Mukah), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak). Menjadi Ahli Parlimen Mukah sejak 2018
13. Lukanisman Awang Sauni, 40. Ketika pertama kali bertanding kerusi Parlimen Sibuti pada 2018, adalah calon muka baharu paling muda di Sarawak ketika itu, berusia 36 tahun.
Kita sama-sama tunggu dan lihat perkembangan selepas ini. Apakah masih mendendangkan lagu Zaiton Sameon atau Andrea Bocelli.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak