Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Siapa
  • WBS

Siapa

Utusan Sarawak 2 days ago

PINTU itu dibuka perlahan-lahan. Tubuh kecil berbaju lengan panjang dan mengenakan topikelabu melangkah masuk setelah mengucapkan salam. Namun, tiada suara menyahut salamnya itu. Sambil membimbit dua beg kertas, masing-masing di kiri dan kanan, sedikit rasa hairan berdetik di hati.

Pada kebiasaannya, akan ada seseorang, tinggi lampai dengan rambut senantiasa dibiarkan mengurai, menyambutnya di hadapan pintu rumah dua tingkat itu. Rumah itu sememangnya sunyi seperti selalu kerana tuan rumah sukakan suasana sepi memandangkan dia adalah seorang penulis di waktu lapang manakala pekerjaan hakikinya setiap hari kecuali Rabu, adalah pekerja kaunter sebuah kedai 24 jam.

“Subang? Di mana kamu, Subang?”

            Masih tiada jawapan. Dia bertambah gusar. Sahabat baiknya itu harus ada di rumah pada ketika ini kerana hari ini hari Rabu, hari cutinya.

            Dia terus melangkah. Berjalan menuju ke ruang tamu. Tiba-tiba, kaki itu berhenti bergerak. Dua beg kertas yang dibimbit, jatuh ke lantai. Tangan yang sebentar tadi berada di sisi, ditekup ke mulut. Jantung berdegup kencang sehingga dia sendiri dapat mendengar gema jantungnya sendiri.

            Subang ditemui di balkoni tingkat dua, senyap, kaku, membiru.

*****

 “Saya masuk dan beri salam pagi seperti selalu. Saya berjalan masuk dan apabila sampai di ruang tamu, saya nampak…”

Kata-kata itu berhenti di situ seketika apabila dia menarik sehelai tisu untuk mengelap air mata yang berciciran jatuh di pipi.

            “Maaf. Saya anggap dia seperti kakak. Saya masih tak percaya yang Subang dah tak ada.”

            Suaranya bergetar.

            “Saya nampak jasadnya di tingkat dua. Kemudian, saya hubungi polis dan ambulans.”

            Pegawai penyiasat memerhati tangan Sharon yang menggeletar. Kedengaran suara meraung seusai Sharon disoal siasat di hadapan rumah itu.

            Sharon menoleh. Itu ibu Subang. Dia dihalang masuk sementara siasatan polis masih berjalan. Tidak lama kemudian, ibu Subang pitam. Sharon mendekati lalu memangku wanita itu.

            “Mak cik dah sedar?”

            Matanya masih lagi berpinar-pinar. Dia memegang kepala yang masih pening.

 Setelah melihat Sharon berada di sisi, ibu Subang segera duduk.

            Sharon tidak dapat menahan sebak lalu memeluk wanita itu yang turut sama menangis.

            Hari ini merupakan malam ketiga sebelum Subang dikuburkan keesokan harinya. Wajah ibu Subang sugul dan pilu. Subang adalah satu-satunya permata hati dalam hidup ibu Subang.

            “Mak cik, minumlah.” Air minuman kotak berperisa laici dihulurkan pada wanita itu.

            Dia tidak menyambut air minuman itu, terus sayu bersama air mata yang menitis tidak henti-henti. Mata wanita itu turut bengkak.

            Sharon melabuhkan punggung di sebelah ibu kepada seseorang yang telah menjadi sahabat baiknya selama lima tahun itu.

            “Mak cik, saya rasa Subang tentu tak mahu melihat keadaan mak cik begini.” Sharon mengambil tangan wanita itu sebelum meletakkan air minuman itu di tangannya. Akhirnya, wanita itu menyedut air minuman itu.

             “Subang…” Suara seorang lelaki tiba-tiba memanggil lalu masuk dan menangis di hadapan keranda Subang.

            Ibu Subang bingkas. Wajah sugul tadi berubah berang. “Untuk apa kamu ke sini? Dia bukan anak kamu lagi!”

            Sharon turut sama bangun sambil memeluk lengan wanita itu. Dia tidak mahu ibu Subang terlalu beremosi melihat kehadiran lelaki itu.

            “Dia masih anak saya. Selalu di hati saya,” jawab lelaki itu.

            “Pergi!” Ibu Subang masih lagi berang. “Jika kamu sayangkan dia, kamu takkan tinggalkan dia sejak kecil demi perempuan lain! Malah, kamu sanggup menyara hidup anak perempuan itu berbanding anak kamu sendiri!”

            Sharon memegang tangan ibu Subang dengan lebih kuat.

            Lelaki itu mengesat air mata. “Saya akan pergi. Izinkan saya menatapnya buat kali terakhir.”

            “Mak cik…” Pujuk Sharon.

            Wanita itu berpaling ke arah lain. Dia tidak ingin memandang wajah lelaki itu lagi.

            Seketika kemudian, lelaki itu meninggalkan ruai rumah panjang itu.

            “Maaf, encik. Encik perlu ikut kami ke balai.” Dua orang polis yang sudah menanti Jemat di luar rumah panjang mendekati membawanya pergi.

*****

            “Saya hanya pergi pada malam dua hari sebelum kejadian. Saya masakkan udang kegemarannya. Takkanlah saya nak bunuh anak saya sendiri, tuan?” Jemat mempertahankan diri.

            Dia tidak menyangka dituduh membunuh Subang. Sedangkan, dia benar-benar menyayangi anak dari perkahwinan pertamanya itu. Malah sebenarnya, hubungan mereka baik sejak tahun lepas dan dia sering ke rumah Subang.

            “Ada saksi yang mengatakan encik berada di rumah si mati. Malah, kami menemukan beberapa bahan bukti. Encik mempunyai hak untuk berdiam diri. Jika tidak mampu mengupah peguam, kami akan menyediakan peguam untuk encik,” balas pegawai penyiasat itu lalu meninggalkan Jemat yang masih tidak berpuas hati dengan tuduhan itu terhadapnya.

            “Saya tahu, pak cik tidak bersalah dalam hal ini.”

            Jemat mengangguk tetapi hatinya berdebar.

            “Pak cik, jika pak cik nak tahu, saya sempat menangkap gambar Subang pada hari kejadian kerana saya tidak percaya yang Subang membunuh diri. Ternyata, ia benar. Malangnya pak cik pula dituduh membunuh Subang walaupun tiada kesan cap jari ditemui,” ujarnya dengan suara hampir berbisik.

            Walaupun mereka dipisahkan oleh dinding kaca tebal, namun Jemat masih dapat mendengar kata-kata Sharon.

            Wajah Jemat kembali suram. “Bantu, pak cik. Pak cik tahu kamu baru sahaja menjadi peguam dan takkan membiarkan Subang mati sia-sia…” Suaranya menggeletar.

            Sharon mendiamkan diri. Agak lama juga mereka berada dalam senyap. Masing-masing tidak bersuara.

            “Masa melawat tamat.”

            Sharon bingkas perlahan-lahan. Sedetik, ada perkara menyerbu fikirannya pada waktu dia melangkah pergi lalu dia berkata, “Pak cik guna tangan kanan atau kidal?” Jemat segera menjawab, “Pak cik guna tangan kanan!”

            “Kasihan, bukan? Dia tidak seharusnya mati begitu.”

            Sharon menoleh. Seorang wanita seusia ibunya mendekati Sharon yang sedang parkir di hadapan rumah Subang. Tali kuning bertulis garisan polis masih lagi direntang. “Ibu saya beritahu polis yang dia nampak bapa gadis itu ada ke rumah ini malam itu,” tambah wanita itu lagi.

            Maka, tahulah Sharon yang ibu wanita itu adalah saksi yang melihat Jemat di rumah Subang.

            “Saya pun tidak menyangka, mak cik.”

            “Lebih teruk, bapanya adalah saspek,” bicara wanita itu lagi.

            Seorang wanita tua mendekati mereka. “Eh, kamu sudah siram pokok bunga hari ini?” soal wanita tua itu sambil memegang bahu Sharon.

            “Eh, mak. Mari masuk, mak. Sudah sampai masa untuk mak makan ubat. Kami masuk dulu, ya,” ujar wanita itu.

            Dia melarikan pandangan pada saat mata mereka bertembung. Cepat-cepat, wanita itu menarik lengan wanita tua itu untuk bergegas pergi. Sharon mula berasa sangsi.

            Dia masuk ke dalam kereta. Lalu menatal telefon. Melihat semula gambar-gambar kejadian di dalam galeri telefon. Nasib baiklah dia sempat menangkap gambar-gambar itu kerana dia tahu, Subang tidak akan membunuh diri.

*****

            “Adakah dia lelaki yang puan nampak pada malam kejadian, masuk ke rumah si mati?” soal lelaki itu. Dia berdiri di hadapan saksi, wanita tua yang sudah pun menjangkau enam puluh tahun.

            “Ya,” sahut wanita itu.

            “Puan nampak dengan jelas wajah lelaki itu?”

            “Ya. Saya nampak dengan jelas,” sahut wanita itu lagi.

            Peguam itu mengangguk lalu kembali ke tempat duduk.

            Sharon bingkas dari tempat duduk peguam bela lalu menghampiri wanita tua itu.             “Selamat pagi, puan. Puan, tadi pagi saya dah siram pokok bunga. Seperti selalu. Puan ada nampak, tak?”

            “Bantah! Soalan tak ada kena-mengena, Yang Arif!” tegur peguam lelaki tadi.

            “Bantahan diterima. Peguam bela, sila ajukan soalan lain.”

            Sharon mengangguk.

            “Puan, kenal dengan si mati?” soal Sharon.

            “Kenal. Kami berjiran dah lama.”

            Sharon mengangguk.

            “Berapa lama puan dah berjiran dengan si mati?”

            Wanita tua itu mula menghitung jari. “Dua…tiga… Saya terlupa. Dah tua agaknya.”             Sharon tersenyum sambil mengangguk.

            “Puan, hari ini puan ada keluar rumah?”

            Wanita tua itu mengangguk.

            “Ada nampak jiran puan yang berada di sebelah rumah puan menyiram bunga?”  Wanita tua itu mengangkat jari telunjuk sebelum menggaru dagu.

            “Ada, dia menyiram pokok bunga kertas setiap hari,” jawabnya dengan yakin.

            Peguam lelaki itu menepuk dahi. “Maaf, puan. Dia yang puan katakan menyiram pokok bunga dan tinggal bersebelahan rumah puan, telah mati dua minggu lepas. Itu sahaja, Yang Arif.”

            Para juri yang mendengar, turut mengangguk. Sharon yakin, satu-satunya saksi yang melihat Jemat ada di rumah Subang pada malam itu, terperangkap dengan soalan yang diajukan tadi.

            “Terima kasih, Sharon. Pak cik tak tahu bagaimana hendak berterima kasih pada kamu. Kamu telah menyelamatkan pak cik dan berjaya menepis dakwaan pak cik membunuh anak pak cik sendiri.” Suaranya sebak.

            “Tak mengapa, pak cik. Itu tugas saya. Tapi, kita masih tak tahu siapa pembunuhnya.”

            “Abang.” Seorang wanita sebaya ibu Subang datang menghampiri bersama seorang gadis muda.

            “Ini Chendai, anak tiri saya. Kalian tidak pernah bertemu sebelum ni.” Jemat memperkenalkan gadis muda itu kepada Sharon.

            Teringat Sharon yang ibu Subang pernah menyebut, ayah Subang berkahwin lagi dengan wanita yang mempunyai seorang anak.

            “Marilah kita makan sama-sama,” ajak isteri Jemat.

            “Baiklah. Saya pun lapar sebab pagi tadi saya tak bersarapan. Biasalah, gementar menghadapi perbicaraan pertama,” sahut Sharon sambil ketawa kecil.

            Sharon perhati sahaja anak tiri Jemat yang duduk di berhadapan dengannya. Chendai ralit menekan telefon.

            “Chendai bekerja atau masih belajar?” soal Sharon.

            “Dia masih belajar,” sahut ibunya. Chendai sedikit pun tidak menjawab.

            “Makanan dah sampai. Chendai, makan lagi,” tegur Jemat.

            Wajah Chendai kelihatan marah apabila ditegur Jemat. Chendai mengambil sarung tangan plastik dari beg sebelum memakainya. Mata Sharon terus memerhati perlakuan Chendai.

            Menyedari Sharon memerhati Chendai, ibunya segera berkata, “Dia memang begini. Setiap kali makan mahupun mengemas rumah, dia akan mengenakan sarung tangan plastik.

            Sharon mengangguk.

            Semasa makan, Sharon sempat curi-curi memerhati Jemat dan isterinya. Chendai pula makan dengan cepat. Seusai itu, dia menyusun pinggan itu dengan kemas. Sudu dan garfu diletakkan di tengah pinggan dan menunjuk arah jam 12.

            “Chendai dan Subang, mereka berbeza. Jika seorang sukakan udang tanpa kulit, seorang pula tidak sukakannya. Tetapi saya sayang akan kedua-duanya,” jelas Jemat. Sharon mengangguk. Entah bagaimana, ada perkara menyelinap masuk dalam fikirannya.

            Chendai bangun dan begnya terjatuh. Dia mendengus sebelum mengutip barang-barang yang berselerak. Segala barang dimuntahkan dari beg itu kerana dia tergesa-gesa bangun dari tempat duduk.

            “Itulah, tergopoh-gopoh.”

            Chendai menoleh dengan wajah bengis apabila ditegur ibunya.

            Sharon perhati sahaja perlakuan Chendai. Chendai susun satu-persatu barangnya, dari kecil sehingga besar.

            Sharon mengambil telefon yang berada ketika itu di atas meja. Dia menatal kembali foto-foto pada hari kejadian Subang ditemui.

            “Maaf, saya perlu menghubungi seseorang.” Dia bingkas lalu keluar dari kedai makan itu.

            Sepuluh minit kemudian, kelihatan Sharon hadir bersama dua pegawai penyiasat yang menangkap Jemat di rumah panjang sehari sebelum Subang dikebumikan.

            “Maaf, pak cik. Maaf, mak cik. Saya terpaksa,” ujar Sharon.

            Pegawai penyiasat itu segera menggari Chendai.

            “Eh, kenapa ni? Mak. Ayah!” Suara Chendai meninggi, meronta kerana tidak mahu digari.

            “Kenapa tangkap anak saya? Apa sebenarnya semua ni, Sharon?”

            “Saya syak Chendai yang membunuh Subang.”

*****

            Perlahan-lahan, Sharon duduk lalu meletakkan bunga kertas di atas pusara Subang.

            “Pembunuh kamu dah ditangkap, Subang.” Segala ingatan kembali mengetuk tingkap memori.

            “Cara pembunuh mengikat tali pada leher si mati menunjukkan dia seorang yang mahir menggunakan tangan kiri. Tertuduh adalah seorang kidal. Seterusnya, menurut foto ini, tempat kejadian adalah sangat teratur dan tersusun memandangkan si mati bukanlah seorang yang suka mengemas. Pembunuh adalah seorang pesakit OCD, dia mempunyai sejenis gangguan mental iaitu gangguan obsesif kompulsif. Tertuduh telah menjalani ujian OCD dan disahkan menghidapnya. Satu lagi bukti, sisa makanan iaitu kulit udang pada kejadian ditemui di dalam tong sampah, adalah kulit udang yang dikupas sebelum dimasak. Menurut ayah si mati, si mati gemar makan udang dimasak bersama kulit,” terang Sharon dengan yakin.

            Dia merenung tajam ke arah Chendai yang duduk di kandang tertuduh.

            “Ya! Saya adalah pembunuh Subang yang sebenarnya! Saya sengaja mengupas udang tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah supaya ayah dituduh sebagai pembunuh! Saya tahu, dia telah ke rumah Subang dua hari sebelum itu,” kata Chendai.

            “Saya bencikan ayah sejak hari pertama dia masuk ke rumah kami! Dia merebut kasih sayang ibu daripada saya! Saya hanya ingin perhatian ibu seorang, bukannya berkongsi kasih!” jerkah Chendai dengan wajah bengis.

            Ibu Chendai menekup mulut sambil tangan yang satu lagi memegang dada. Hancur hatinya berkecai seperti kaca jatuh terhempas ke lantai. Jemat yang duduk di sebelah, terpaku seolah-olah tidak mempercayai pengakuan Chendai.

            Semuanya kini telah berakhir.

Oleh Stephanie Juanita Ahlee

Continue Reading

Previous: PUISI
Next: Kata Konkrit dan Kata Abstrak dalam Sajak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.