SRI AMAN: Penduduk dari kawasan Selanjan Angkong dan Enchiap, Pantu dijangka menikmati kemudahan jalan raya berturap yang baharu menjelang November tahun hadapan.
Ia terbukti apabila kerajaan bertindak membina jalan raya berturap yang menghubungkan dua kawasan penempatan penduduk berkenaan iaitu Selanjan Angkong dan Enchiap semenjak 10 November lepas.
Sumber memberitahu projek pembinaan jalan raya berturap sepanjang 4.2 kilometer di kawasan tersebut telah pun dilaksana oleh pihak kontraktor Jaja Enterprise dengan kos sebanyak RM2,799,078.
“Projek jalan raya berturap itu juga akan mengikuti laluan jalan sedia ada sambil melibatkan kerja-kerja tanah yang minimum dan pembinaan sebanyak enam pembetung termasuk ‘surface drainage’.
“Tempoh pelaksanaan Projek Jalan Selanjan Angkong-Enchiap berkenaan berlangsung selama 12 bulan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bertindak sebagai agensi pelaksana bagi tujuan itu,” kata sumber.
Terdahulu penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang telah menyerahkan tapak dan dokumen Projek Jalan Selanjan Angkong-Enchiap kepada pihak kontraktornya di situ baru-baru ini.
Beliau menerusi upacara ringkas bagi tujuan itu turut diberi taklimat ringkas mengenai pelaksanaan Projek Jalan Selanjan Angkong-Enchiap sebelum hadir ke rumah panjang berkenaan bagi tujuan sesi randau.
Untuk pengetahuan Projek Jalan Selanjan Angkong-Enchiap ini terletak dalam kawasan DUN Bukit Begunan dengan tujuan utamanya adalah untuk mewujudkan kemudahan jalan raya lebih selesa dan baik untuk penduduk di situ.
Oleh VALENTINE NGUMBANG