
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) Group hari ini mengumumkan pembatalan penerbangan ke Dubai yang dijadualkan pada 28 Februari dan 1 Mac ini selepas menilai situasi geopolitik di Asia Barat.
Dalam kenyataan kepada Bernama, jurucakap syarikat penerbangan nasional itu berkata penerbangan SIA SQ494 dari Singapura ke Dubai dan SQ495 dari Dubai ke Singapura pada kedua-dua tarikh berkenaan akan dibatalkan.
Scoot turut membatalkan penerbangan TR596 dari Singapura ke Jeddah dan TR597 (Jeddah-Singapura) pada 28 Februari.
“Kami menasihatkan pelanggan supaya mengemas kini butiran hubungan mereka menerusi fungsi urus tempahan di laman sesawang SIA dan Scoot atau melanggan perkhidmatan pemberitahuan mudah alih bagi menerima kemas kini penerbangan.
“Kami akan terus memantau situasi di Asia Barat dengan teliti dan akan melaraskan laluan penerbangan mengikut keperluan,” tambah jurucakap itu.
Terdahulu, Iran mengumumkan penutupan keseluruhan ruang udaranya sehingga dimaklumkan kelak susulan laporan serangan Israel ke atas wilayahnya hari ini. Iraq turut menutup ruang udaranya sebagai tindak balas terhadap perkembangan terbaharu itu, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan Mitham al-Safi kepada Agensi Berita Iraq (INA).
–Bernama