SHAH ALAM: Syarikat Bubblebee Sdn Bhd dan dua pengarahnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 18 pertuduhan gagal melunaskan cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tahun 2023.
Syarikat minuman itu dan dua pengarahnya Shahmira Muhamad, 40, atau lebih dikenali sebagai Shuib dan Koh Choon Guan, 33, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah masing-masing atas enam pertuduhan, dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Menurut pertuduhan, bagi kes pertama kesemua OKS didapati gagal membayar cukai perkhidmatan kepada ketua pengarah JKDM bagi tahun 2023 dengan jumlah RM217,542.62, RM217,592.56 dan RM190,848.35 masing-masing bagi tempoh bercukai 1 Januari hingga 28 Februari, 1 Mac hingga 30 April dan 1 Mei hingga 30 Jun.
Bagi kes kedua pula, mereka gagal membayar cukai perkhidmatan bagi tahun sama dengan jumlah RM268,353.06, RM146,870.03 dan RM149,947.16 masing-masing bagi tempoh bercukai 1 Julai hingga 31 Ogos, 1 September hingga 31 Oktober dan 1 November hingga 31 Disember.
Kesemua kesalahan itu dengan jumlah keseluruhan cukai tidak dibayar ialah RM1.1 juta, dilakukan di Bahagian SST JKDM, Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Bangunan OPA, Subang, Selangor pada 1 April, 1 Jun, 1 Ogos, 3 Oktober dan 1 Disember 2023 serta 1 Februari 2024.
Pertuduhan di bawah Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Di bawah Seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 serta Seksyen 69(1) akta sama, mereka turut dikehendaki membayar penalti berjumlah RM453,969.42.
Prosiding hari ini dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM Wan Abdul Rahim Wan Mahamood dan Nur Amalina Ahmad Nazeri manakala Bubblebee, Shuib dan Koh diwakili peguam Muhammad Firdaus Shaik Alauddin.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan kepada Shuib dan Koh mengambil kira jumlah tunggakan yang tinggi.
Muhammad Firdaus membantah sambil menegaskan ia merupakan kes saman selain anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan telah membuat aku janji untuk hadir pada setiap prosiding.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin kepada kedua-dua mereka sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember ini. – Bernama