
KUCHING: Showcase Usahawan Tani (ShoUT) 2025 terus menjadi platform berkesan dalam memperkukuh jaringan pemasaran serta meningkatkan hasil jualan usahawan tani tempatan.
Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat berkata sektor pertanian terus diberi perhatian sebagai asas penting kepada jaminan makanan negeri ini.
“Golongan petani, pekebun dan penternak adalah tulang belakang dan tunjang kepada penggunaan pertanian di Sarawak. Kita berterima kasih kepada mereka atas sumbangan berterusan.
“Jabatan Pertanian akan terus komited untuk beri bantuan dan juga khidmat sokongan demi keterjaminan dan keselamatan makanan.
“Kita mahu pertanian bukan sekadar aktiviti bercucuk tanam, tetapi menjadi satu profesion iaitu pertanian sebagai perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media ketika menghadiri Program Walkabout Pengarah Pertanian Sarawak Sempena ShoUT 2025, di sini, hari ini.

Program anjuran Bahagian Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian Sarawak itu berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Mei 2025.
Sebanyak 20 reruai pameran dan jualan disediakan melibatkan penyertaan 17 usahawan tani, dua agensi kerajaan dan satu syarikat swasta.
ShoUT 2025 memberi tumpuan kepada pemasaran secara bersemuka sebagai usaha mendekatkan usahawan dengan pengguna dan pembeli berpotensi.
Antara produk yang diketengahkan termasuk hasil pertanian segar, makanan sejuk beku, produk herba dan minuman berasaskan bahan tempatan.
ShoUT dilihat sebagai kesinambungan usaha berterusan Jabatan Pertanian dalam memperkasakan agroindustri tempatan ke arah pasaran lebih luas.
Penganjuran ShoUT membuktikan potensi besar usahawan tani Sarawak untuk terus berkembang menerusi strategi pemasaran bersepadu dan bimbingan berterusan.
Oleh Masrin Affirah