SIBU: Sebanyak 11 jenis barangan keperluan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Gawai Dayak 2025 bagi kawasan Sibu.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sibu, Kelyn Bolhassan @ Haliward, berkata skim tersebut akan berkuat kuasa selama tujuh hari bermula esok, 29 Mei hingga 4 Jun depan.
“Antara barangan yang terlibat termasuk ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih dari China, kubis bulat import (dari Indonesia dan China kecuali kubis Beijing), cili kering kerinting, kelapa biji, kelapa parut, santan, serta tiga jenis daging babi – babi hidup, daging perut, dan daging serta lemak,” jelas beliau dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Kelyn, pelaksanaan skim ini bertujuan mengekang kenaikan harga yang tidak munasabah menjelang musim perayaan, sekali gus memastikan kestabilan harga barangan di pasaran.
“Penguatkuasaan akan dilaksanakan bagi memastikan semua peniaga mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan.
“Kegagalan mematuhi arahan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tegas beliau.
Sekiranya sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.
Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM500,000.
Tambah beliau lagi, semua peniaga diwajibkan memaparkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan di bawah kawalan.
Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan denda sehingga RM10,000 bagi individu dan RM20,000 bagi syarikat.
Beliau turut mengingatkan agar tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara mendadak selepas tempoh SHMMP tamat.
“Kerjasama daripada semua pihak termasuk pengguna amat penting bagi memastikan kejayaan skim ini.
“Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan melalui aplikasi Ez ADU, laman web e-aduan.kpdn.gov.my, e-mel, panggilan telefon, atau dengan hadir terus ke pejabat KPDN Cawangan Sibu,” katanya.
Oleh Akun Giman