BINTULU: Sherry Bulin, 29, dinobatkan sebagai Kumang Raban Ngepan Iban (RNI) Peringkat Negeri Sarawak 2022, menewaskan lapan finalis lain di peringkat akhir.
Gadis Iban mewakili Daerah Niah itu membawa pulang tajaan pendidikan bernilai bernilai RM15,000, wang tunai sejumlah RM5,000, mahkota dan selempang serta hadiah tajaan lain, sekali gus menjadi duta selama setahun bagi RNI 2022.
Selain itu, Sherry juga memenangi gelaran sampingan ‘Kumang Pengelandik Main Asal Iban’ (Bakat) dan ‘Kumang Pemadu Mentas’, masing-masing mendapat wang tunai sejumlah RM500 dan RM100 bagi dua kategori tersebut serta beberapa hadiah lain.
Tempat kedua pertandingan itu dimenangi oleh Diyamirza Nantai David, 21, mewakili Limbang dan membawa pulang tajaan pendidikan bernilai RM10,000, wang tunai RM3,000 serta hadiah tajaan yang lain.
Tempat ketiga pula jatuh kepada Stephy Sharon Saging, 18, dari Tatau dan membawa pulang tajaan pendidikan RM7,000 serta wang tunai RM2,000.
Sementara itu, kategori Keling RNI 2022 dimenangi oleh Rochester Lennox Ganti, 22, yang membawa pulang tajaan pendidikan bernilai RM15,000, wang tunai RM5,000, trofi, selempang dan beberapa hadiah tajaan lain serta menjadi duta kepada RNI 2022 selama setahun.
Joshua Amir Sibat, 27, dan Timothy Nang, 28, masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan membawa wang tunai RM3,000 dan RM2,000 dengan tajaan pendidikan RM10,000 dan RM7,000.
Dalam pada itu, Joshua yang berasal dari Limbang turut memenangi kategori ‘Keling Pengelandik Main Asal Iban’ dan ‘Keling Pemadu Mentas’ sekali gus membawa pulang wang tunai sejumlah RM500 dan RM100.
Oleh CAROLYNE UTIH