
KUALA LUMPUR: Shell sedang memperkukuh usaha kemampanan merentasi operasi perniagaannya yang menjadi sebahagian strategi meluas untuk kekal kompetitif serta berdaya tahan dalam perubahan landskap tenaga global.
Naib Presiden Kelestariannya Karen Westley berkata syarikat itu dalam proses melaras aspek kemampanan alam sekitar dan sosial yang juga antara usaha mengemudi peralihan global ke arah tenaga lebih bersih.
Beliau berkata Shell juga sedang menumpukan usaha memudahkan aspek terbabit menerusi proses pendedahan Arahan Pelaporan Kemampanan Korporat (CSRD) yang membolehkan syarikat menghubungkaitkan impak, risiko dan peluang dalam bidang kemampanan dengan rangka kerja risiko perusahaan.
“Ini mendorong kami untuk memperkukuh tadbir urus, sistem dan piawaian berkaitan kemampanan. Kami turut menjadikan kemampanan sebagai asas dalam nilai teras syarikat, sejajar dengan keselamatan dan keprihatinan terhadap orang ramai,” katanya pada sesi pleno bertemakan ‘Sustainability Leaders Navigating Geopolitical and Economic Shifts in Energy Companies’ di Persidangan Energy Asia 2025 hari ini.
Westley juga berkongsi kejayaan Shell dalam mencapai sasaran penting bagi alam sekitar, termasuk pengurangan metana sebanyak 70 peratus sejak 2016, penurunan pelepasan Skop 1 dan 2 ke arah matlamat bagi 2030 selain penyusutan sembilan peratus dalam aspek keamatan bersih karbon.
Pada masa sama, Shell dapat memenuhi sasaran perlindungan biodiversiti, penggunaan air serta penghutanan semula.
Beliau berkata selain sasaran pelepasan, Shell juga dalam proses menambah baik akses tenaga, khususnya di Asia.
Pada November 2024, syarikat berkenaan telah bekerjasama dengan tiga syarikat gergasi tenaga — TotalEnergies, Equinor dan BP membabitkan komitmen pelaburan bersama bernilai AS$500 juta (AS$1=RM4.23) untuk mewujudkan impak positif terhadap akses tenaga bagi penduduk di wilayah utama pada tahun-tahun akan datang.– Bernama