APABILA kita menelusuri sejarah, Sarawak tidak ketinggalan dalam melahirkan golongan intelektual dan ulama yang berwibawa dan tersohor di peringkat antarabangsa. Di antara mereka ini adalah Sheikh Othman. Beliau merupakan anak jati Sarawak yang telah mengharumkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa. Beliau biasa dikenali dengan nama Sheikh Othman Sarawak.
Kehebatan tokoh ini telah mengamit UKM dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak untuk mewujudkan kerusi atas nama beliau. Penubuhan kerusi ini menunjukkan pengiktirafan kepada ketokohan Sheikh Othman dalam bidang keilmuan khususnya agama Islam. Atas sebab itulah kerusi ini berperanan dalam memberi peluang kepada kajian dalam memperkasakan sosioekonomi masyarakat Islam di Sarawak.
Latar belakang
Sheikh Othman lahir dalam keluarga pembesar berpengaruh di Sarawak. Hal ini boleh dibuktikan dengan geonologi keluarga beliau yang ada kaitan dengan pembesar Melayu awal yang membina Sarawak iaitu Datu Merpati Jipang.
Beliau dilahirkan pada 15 Jun 1864 di Kampung Sinjan, Sarawak. Ketika itu, Sarawak sudah diperintahkan oleh Raja Brooke. Kelahiran beliau bertepatan pada masanya kerana beliau kemudiannya menjadi ulama yang memperkasakan ajaran Islam bersama-sama ulama lain di Sarawak.
Beliau juga merupakan anak yatim piatu. Ayah beliau bernama Tuan Haji Wahab telah meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan. Ibunya pula meninggal dunia selepas tiga hari beliau dilahirkan. Namun demikian pemergian kedua-dua orang tuanya mendapat perhatian daripada bapa saudara beliau iaitu Datu Hakim Abdul Karim.
Datu Hakim Abdul Karim merupakan seorang ulama Sarawak telah menjadikan Sheikh Othman sebagai anak angkat. Isteri Datu Hakim Abdul Rahman pula menjadi ibu susuan beliau. Datu Hakim Abdul Rahman ini juga adalah bapa saudara kepada Sheikh Othman.
Sheikh Othman juga mempunyai sembilan isteri yang dikahwinkannya pada waktu berbeza tetapi ramai isteri beliau telah meninggal dunia. Pada hari beliau meninggal dunia pada 1921 di Makkah, beliau meninggalkan dua orang isteri dengan enam anak lelaki dan seorang perempuan.
Anak-anak beliau ini juga merupakan orang ternama dalam bidang agama dan pendidikan. Anak-anak lelaki beliau ini terdiri daripada Zainuddin, Tuan Sheikh Muhammad Sazali, Abdul Wahab, Cikgu Nawawi dan Tuan Sheikh Sharqawi. Anak perempuan beliau pula bernama Hajah Maimunah.
Pendidikan
Dari segi pendidikan, Sheikh Othman mendapat pendidikan daripada ayah angkat beliau. Seterusnya beliau diajar oleh Datu Hakim Abdul Rahman setelah ayah angkatnya meninggal dunia. Pelajaran yang beliau dapat daripada berguru dengan dua tokoh ulama Sarawak ini adalah ilmu nahu, saraf, tauhid, fiqh, faraid dan lain-lain. Selain itu beliau juga seorang yang kuat menghafal dan mampu membaca al-Quran mengikut tajwid dalam tempoh tujuh tahun.
Selepas pengajian yang baik di Sarawak ini, Datuk Hakim Abdul Rahman menyarankan beliau melanjutkan pendidikan tinggi beliau di Makkah. Beliau berlepas ke Tanah Suci itu pada 1881. Ketika itu usia beliau baharu sahaja menjangkau 17 tahun tetapi mempunyai semangat kuat untuk mendapat pendidikan di luar negara.
Di Makkah, beliau mendapat didikan daripada pelbagai ulama tersohor ketika itu seperti Sheikh Muhammad Sa’id Babshail, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Mushthafa bin Muhammad bin Sulaiman al-Afifi, Sheikh Abdul Hamid Daghistani dan Sheikh Muhammad asy-Syarbini al-Mishri ad-Dimyathi. Ini hanya sebahagian sahaja nama-nama guru yang mengajar beliau di Makkah.
Di Makkah, beliau telah menunjukkan kecemerlangan apabila diijazahkan bersama kitab-kitab agama. Antara kitab-kitab ini ialah Dalil al-khairat yang merupakan kitab tentang wirid dan juga zikir. Selain kitab tersebut terdapat juga kitab tentang fiqh yang bertajuk Tanah al-Talibin.
Kitab Husn al-Wafa pula diberi kepada beliau oleh Tuan Sayid Flih bin Sayid Muhammad al-Zahiri adalah tentang ilmu hadis. Sebuah lagi kitab hadis diberi kepada beliau bertajuk ‘Iqd al-Jawhar al-Thamin. Ilmu yang ditimba oleh Sheikh Othman ini adalah banyak.
Malah beliau tekun dalam pembelajaran ilmu tajwid dan pembelajaran al-Quran. Selain itu guru-guru beliau juga mengajar hadis Bukhari dan Muslim. Ilmu tasawuf pula diajar kepada beliau oleh Sheikh Abdul Karim al-Bintani. Bahasa Arab juga dikuasai dengan baik oleh beliau seperti dalam nahu, saraf, ilmu bayan dan ilmu badi’. Ilmu beliau juga menjangkau kepada ilmu handasah dan falak.
Sumbangan
Dengan ilmu yang diperoleh ini, beliau kemudian menarik pelajar Islam untuk berguru dengannya. Pelajar dari Kepulauan Melayu, termasuk Sarawak, Patani dan Tanah Melayu juga datang ke Makkah untuk belajar ilmu Islam dengan beliau. Tambahan daripada itu pelajar-pelajar dari India dan Pakistan juga pernah berguru dengan beliau.
Antara pelajar yang pernah belajar dengan beliau ialah Dr. Abdul Karim Amrullah. Dr Abdul Karim Amrullah pula adalah ayah kepada Dr. Hamka. Salah seorang pelajar yang bernah belajar dengan beliau adalah Datuk Imam Abang Nawawi yang pernah berkhidmat dengan pentadbiran Brooke sebagai tokoh agama. Selain beliau beberapa lagi tokoh yang berguru dengan beliau adalah Imam Bahauddin, Salleh Arif dan Morshidi Nordin.
Kehidupan Shaikh Othman ini lebih banyak di Makkah untuk mengembangkan ilmu serta memberi ilmu kepada pelajar. Oleh itu beliau tidak banyak berada di Sarawak. Setelah belajar di Makkah, beliau hanya kembali ke Sarawak sebanyak dua kali.
Pertama beliau datang ke Sarawak pada 1895. Beliau tinggal di Sarawak selama setahun setengah. Beliau kembali semula ke Sarawak pada 1918. Beliau hanya menetap di Sarawak selama setahun. Sudah semestinya kepulangan beliau ke Sarawak ini membawa bersama-sama ilmu agama untuk diajar kepada masyarakat Islam di Sarawak. Tiga tahun selepas itu beliau meninggal dunia di Makkah.
Secara keseluruhannya umat Islam Sarawak tidak ketandusan melahirkan ulama tersohor peringkat antarabangsa. Malah ulama Sarawak mampu meraih kejayaan cemerlang di mana sahaja mereka berada.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.