Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • SHEDA: SST, kenaikan kos operasi jejas daya tahan perniagaan kecil
  • BISNES

SHEDA: SST, kenaikan kos operasi jejas daya tahan perniagaan kecil

Utusan Sarawak 18 hours ago
PENASIHAT Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Dato Sim Kiang Chiok

KUCHING: Pengenaan semula dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan pada 9 Jun lalu dijangka meningkatkan kos sara hidup rakyat serta menambah tekanan ke atas perniagaan kecil dan sederhana untuk terus bertahan.

Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Dato Sim Kiang Chiok, berkata pelaksanaan SST baharu yang akan bermula 1 Julai ini memberi kesan kepada harga barangan bukan keperluan yang sebelum ini tidak dikenakan cukai.

Antaranya buah-buahan import, makanan laut premium seperti salmon dan ikan kod, minyak pati, sutera, jentera industri, basikal jalan raya serta karya seni antik.

“Walaupun barangan asas seperti beras, sayur-sayuran, susu, daging dan ubat-ubatan kekal dikecualikan, peningkatan kadar SST antara lima hingga 10 peratus tetap memberi kesan rantaian kepada pengguna dan pemain industri.

“Barangan ini bukan sahaja dibeli oleh pengguna akhir, malah menjadi bahan penting dalam operasi harian perniagaan kecil.

“Apabila kos meningkat, mereka terpaksa menaikkan harga atau menanggung kerugian,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Selain itu, pelaksanaan cukai turut melibatkan pelbagai sektor perkhidmatan seperti penyewaan, pembinaan, kewangan, pendidikan swasta, kesihatan swasta, dan kecantikan.

Perkhidmatan kecantikan akan dikenakan cukai lapan peratus jika pendapatan tahunan melebihi RM500,000, manakala institusi pendidikan swasta yang mengenakan yuran melebihi RM60,000 setiap pelajar juga akan dikenakan cukai, termasuk pelajar antarabangsa.

Sim turut menegaskan, kos operasi perniagaan semakin meningkat berikutan pelaksanaan Undang-undang Buruh Sarawak baharu yang mengehadkan waktu bekerja dan memanjangkan cuti bersalin kepada 98 hari mulai 1 Mei, kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700, serta sistem e-invois wajib yang akan diperkenal tahun depan.

“Gabungan faktor-faktor ini memberi tekanan besar kepada usahawan tempatan.

“Mereka bukan sahaja terpaksa menyesuaikan diri dengan beban cukai baharu, malah perlu menghadapi peningkatan kos operasi secara mendadak,” ujarnya.

Sim turut menyatakan kemungkinan penghapusan subsidi petrol RON95 dan ketidaktentuan ekonomi global berikutan pengenaan semula tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat mulai Julai ini akan memburukkan lagi keadaan, sekali gus menjejaskan keyakinan pasaran dan memperlahankan prospek eksport negara.

Sehubungan itu, Sim menyeru Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan semula dasar-dasar tersebut secara menyeluruh dan mengambil pendekatan lebih seimbang bagi memastikan rakyat dan sektor perniagaan tidak terbeban dalam situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Saham Boeing menjunam susulan nahas pesawat Air India
Next: Harga minyak naik mendadak susulan serangan tentera Israel ke atas Iran

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.