Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • SHEDA gesa tangguh SST sektor pembinaan, bimbang lonjakan harga rumah
  • TEMPATAN

SHEDA gesa tangguh SST sektor pembinaan, bimbang lonjakan harga rumah

Utusan Sarawak 11 hours ago
PRESIDEN SHEDA, Augustine C.H. Wong.

KUCHING: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada sektor pembinaan, yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Julai depan.

Presiden SHEDA, Augustine C.H. Wong berkata, pelaksanaan SST itu dikhuatiri akan meningkatkan kos pembinaan secara mendadak, sekali gus mendorong kenaikan harga rumah ke tahap yang membebankan, khususnya bagi golongan M40 dan B40 yang sudah pun terkesan dengan tekanan kos sara hidup.

“Tanpa mengambil kira SST sekalipun, dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, pemaju hartanah sudah berdepan peningkatan ketara dalam kos buruh.

“Selain itu, pelaksanaan dasar baharu seperti e-invois, Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA), dan levi sebagai ganti pembinaan rumah mampu milik turut memberi tekanan tambahan terhadap kos operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa harga bahan binaan telah meningkat antara 20 hingga 30 peratus sebelum pelaksanaan SST, dan kombinasi faktor-faktor ini dijangka menyebabkan lonjakan ketara dalam harga jualan hartanah.

“Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kemampuan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, malah berisiko membebankan seluruh rantaian industri pembinaan dalam jangka masa panjang,” tegas beliau.

Mengulas jaminan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bahawa semua hartanah kediaman termasuk pangsapuri servis yang digunakan sebagai kediaman akan dikecualikan daripada SST, Wong menyambut baik kenyataan tersebut namun menegaskan bahawa penjelasan lebih terperinci masih diperlukan.

“Kami perlukan maklumat lanjut terutama bagi projek pembangunan bercampur seperti rumah kedai yang menggabungkan komponen kediaman, komersial dan kawasan awam bersama.

“SST tidak wajar dikenakan ke atas keseluruhan projek seumpama ini. Cukai sepatutnya hanya dikenakan terhadap komponen komersial sahaja kerana hartanah kediaman telah pun dikecualikan,” katanya.

Sehubungan itu, SHEDA menggesa kerajaan memperkenalkan formula pengiraan yang jelas dan telus bagi mengelakkan kekeliruan serta ketidakadilan kepada semua pihak berkepentingan, termasuk pemaju dan pengurus hartanah.

“Selagi tiada jaminan yang mencukupi, pelaksanaan SST ini berisiko menimbulkan ketidakseimbangan yang akan membebankan industri serta pembeli,” tambah beliau.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Info-Fun dengan UKAS perkukuh peranan belia, dijangka diperluas ke daerah lain
Next: Eleven percent of property owners in MPP area yet to settle assessment rates

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.