KUCHING: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) akan membina 2, 000 unit rumah mampu milik setahun bermula tahun depan atas kepercayaan Kerajaan Sarawak terhadap mereka.
Presiden SHEDA, Augustine Wong berkata, pihaknya dan Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd (Mutiara) telah menjalinkan persefahaman yang sama bahawa kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak dan agensi berkaitan, dan untuk menyokong satu sama lain dalam inisiatif untuk meningkatkan keseluruhan penawaran, permintaan dan mengambil kadar rumah mampu milik di negeri ini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas kepercayaan terhadap SHEDA untuk membina 2, 000 unit rumah mampu milik setahun bermula dari 2022 yang mana ia telah diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 27 November lalu semasa pelancaran ‘Jelajah Belia Sarawak – Satok’ di Kuching.
“Beliau telah mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan RM10 juta dalam Skim Bantuan Deposit Perumahan Sarawak (HDAS) yang akan membantu golongan belia, secara khusus, pengantin baru untuk membeli dan memiliki rumah pertama mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, HDAS akan disalurkan melalui Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd (Mutiara) milik negeri.
Di bawah skim itu, Kerajaan Sarawak akan menampung deposit RM10,000 bagi rumah berharga RM300,000 dan ke bawah bagi setiap pemohon yang berjaya.
“SHEDA mengadakan beberapa pertemuan dengan Mutiara sebelum ini untuk menentukan kriteria bagi projek prakelayakan dan pemaju yang telah membangunkan beberapa rumah di bawah RM300,00 seunit.
“Kami akan memanggil mesyuarat pihak berkepentingan tidak lama lagi untuk membincangkan pemacu pemangkin HDAS dan mencapai 2, 000 unit rumah mampu milik setahun,” ujarnya.