
SIMANGGANG: Peserta dari Simunjan, Shanelle Ellyssa Justine dinobatkan sebagai Miss Tourism Benak 2025 yang berlangsung di Pentas Kebudayaan Pesta Benak, malam tadi.
Dengan kemenangan itu, Shanelle membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 beserta piala.
Tempat kedua dimenangi oleh Jelsi Jass Ellyvera James dari Sandakan, Sabah yang menerima RM3,000 dan piala, manakala Zyinia Zyian Normand dari Serian diumumkan di tempat ketiga dengan hadiah RM2,000 berserta piala.
Sementara itu, kategori khas turut memeriahkan pertandingan. Melanie Melvy Betong dari Bau memenangi kategori ‘Best Dress’, Mazzaellyn Brasenia Umang Thomas Inau dari Betong meraih gelaran ‘Miss Photogenic’, Shera Lida Minchong dari Simunjan dinobatkan sebagai ‘Miss Talented’.
Manakala ‘Miss Popular’ dimenangi Claudia Sherene Jilin dari Sri Aman. Pemenang bagi setiap kategori khas itu masing-masingnya menerima hadiah wang tunai RM1,000 serta piala.
Kesemua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis bersama isteri, Datin Simba Nalang.
Seramai 12 peserta berjaya melangkah ke pentas akhir dalam acara ‘Miss Tourism Benak’ bertemakan ‘Keanggunan Dalam Keharmonian’ (Elegance In Harmony).
Acara ‘Miss Tourism Benak’ tahun ini bukan sahaja menerima penyertaan dari peserta Sarawak, malah turut menyambut kehadiran peserta dari negeri jiran iaitu Sabah.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Oleh Adi Safarman