
PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan Albert Tei akan didakwa selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatan dalam tempoh tujuh hari seperti diarahkan sebelum ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kedua-dua individu bakal berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok dan satu lagi pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.
“Pertuduhan membabitkan Seksyen 17(a) Akta SPRM bagi kesalahan menerima suapan dan Seksyen 17(b) bagi kesalahan memberi suapan… siasatan terhadap kedua-duanya dibuka di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Shamsul Iskandar dan Tei direman selama enam hari bermula 29 Nov selepas Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan SPRM untuk melengkapkan siasatan.
SPRM sebelum ini memaklumkan bahawa tempoh itu adalah perlu kerana kes tersebut melibatkan kepentingan awam.
Kes itu berkaitan dakwaan bahawa Tei memberi rasuah kepada Shamsul Iskandar bagi mendapatkan semula sejumlah dana yang dikatakan telah diagih kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Mengulas lanjut, Azam berkata seorang wanita, Sofia Rini Buyong, yang turut ditahan pada hari sama, tidak akan didakwa dan telah diklasifikasikan sebagai saksi pendakwaan.
Beliau berkata seramai 32 saksi telah dirakam percakapan dalam tempoh siasatan seminggu itu selain tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan.
Mengulas dakwaan tular oleh isteri seorang suspek bahawa pegawai SPRM tidak mengemukakan senarai penggeledahan ketika serbuan dijalankan, Azam berkata pegawai terbabit telah mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard.
“Senarai carian dan senarai barang rampasan diserahkan terus kepada Albert Tei. Dakwaan kami tidak mengemukakan dokumen itu tidak benar.
“Begitu juga dakwaan bahawa pegawai kami mengacukan pistol… itu tidak benar sama sekali… kami sudah membuat laporan polis, dan semua rakaman video termasuk CCTV (kamera litar tertutup) rumah telah diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Azam turut mengesahkan bahawa siasatan terhadap peguam Tei, Mahajoth Singh, dibuka di bawah Seksyen 48 Akta SPRM kerana enggan bekerjasama dan gagal menyerahkan eksibit yang berada dalam pemilikannya.
“Kerahsiaan komunikasi peguam-anak guam tidak melindungi eksibit atau dokumen yang bukan sebahagian daripada nasihat sulit… SPRM memanggil beliau di bawah Seksyen 30(1) dan 30(2) Akta SPRM, dan tiada pengecualian kepada mana-mana profesional untuk hadir memberi keterangan,” katanya.
Azam turut memaklumkan bahawa kira-kira RM600,000 telah dibekukan sepanjang siasatan.
Sebelum ini, Tei mendakwa beliau membelanjakan kira-kira RM629,000 untuk Shamsul Iskandar termasuk kerja pengubahsuaian premis, pembelian cerut premium dan sut khas, dipercayai berkaitan usaha mendapatkan semula dana yang dikatakan disalur kepada ahli politik di Sabah.
Beliau turut menyiarkan tangkap layar perbualan WhatsApp yang didakwa menunjukkan permintaan mata wang asing oleh Shamsul Iskandar sebelum perjalanan ke luar negara.- Bernama