Shahmalarani cipta detik manis, Thevendran sambar emas karate

Facebook
WhatsApp
ATLET karate C. Shahmalarani (kanan) bersaing menentang Florence Nay Chi Htun dari Myanmar (kiri) dalam acara Kumite Wanita 50kg pada Sukan SEA ke-33 di Thailand, yang diadakan di Government Complex Chaeng Watthana hari ini. Foto BERNAMA

BANGKOK: Genap ulang tahun kelahirannya, ratu karate negara, C. Shahmalarani, mencipta hadiah paling bermakna apabila mempertahankan emas kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) untuk melengkapkan hatrik peribadi di Sukan SEA Thailand 2025.

Kejayaan itu lebih manis apabila atlet berusia 27 tahun itu menundukkan wakil Myanmar, Florence Nay Chi Htun, dengan kiraan mata 4-0 pada aksi final di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana, di sini.

Shahmalarani sebelum ini turut memenangi emas pada edisi 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja.

ATLET karate C. Shahmalarani meraikan kejayaannya selepas menewaskan Florence Nay Chi Htun dari Myanmar dalam acara Kumite Wanita 50kg pada Sukan SEA ke-33 di Thailand. Foto BERNAMA

“Jelas sekali ia sangat istimewa bagi saya. Ia hadiah hari jadi, dan saya juga mahu menyumbangkan emas ini untuk Malaysia.

“Kami baru sahaja memulakan pertandingan tiga hari lalu dan sedang meningkatkan pungutan pingat.

Menjadi salah seorang penyumbang pingat emas adalah detik yang membanggakan bagi saya untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Kem karate negara turut menambah satu lagi emas menerusi atlet muda, K. Thevendran, yang mengungguli acara kumite lelaki bawah 55kg dalam penampilan sulungnya di temasya itu.

Thevendran menewaskan wakil Vietnam, Chu Van Duc, dengan keputusan 4-0. – Bernama