PUSA: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli yakin pengundi muda akan memberi sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Umum PRU ke-15 (PRU-15) ini.
Katanya, pembabitan aktif serta sambutan yang amat menggalakkan daripada belia di Parlimen Batang Lupar sepanjang berkempen sejak seminggu lalu, memberi keyakinan mereka akan memilih GPS.
“Setakat lapan hari berkempen sejak semalam, penglibatan dan interaksi dengan pengundi muda di parlimen ini amat baik, malah golongan itu memberi pandangan positif sama ada melalui media sosial atau secara bersemuka.
“Ini menunjukkan bahawa golongan muda sangat mesra dengan GPS. Mereka juga memahami, merasai dan mengetahui pelan pembangunan GPS khususnya di Sarawak.
“Golongan ini juga sedar, pelan pembangunan kerajaan Sarawak diterajui GPS akan memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat. Ia bukan perancangan semata-mata,” katanya pada Program Gotong-Royong Perdana anjuran Persatuan Penjaja Kecil Daerah Pusa harin ini.
Mohamad Shafizan berkata meskipun baru ditubuhkan kurang lima tahun lalu, GPS sudah terbukti mampu menjadi sebuah kerajaan yang berkeupayaan dan dapat mentadbir negeri ini dengan baik.
“Sesungguhnya keputusan Premier Sarawak untuk menubuhkan GPS adalah sangat tepat kerana ia dapat memberi fokus kepada perjuangan untuk memperjuangkan hak-hak rakyat Sarawak,” katanya.
Justeru itu, beliau menasihatkan pengundi muda supaya mengundi dengan bijak kerana mereka juga berperanan penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan negara.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim yakin calon baharu, Shafizan merupakan pilihan terbaik pucuk pimpinan GPS untuk menabur khidmat kepada rakyat di kawasan itu.
Rohani yang telah menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyatv selama empat penggal sejak 2004 berkata, sebagai orang muda, Shafizan sudah pasti mempunyai pandangan dan idea yang lebih segar untuk terus membawa kemajuan dan pembangunan di kawasan Batang Lupar.