
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan (SFCF) 2025 dari 21 hingga 29 November ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada sektor pelancongan, ekonomi setempat dan pemerkasaan budaya di kawasan Samarahan.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, festival itu terus diperluaskan bagi memperkenalkan makanan tradisi, seni, adat dan permainan warisan pelbagai etnik di negeri ini.
“Produk-produk yang diketengahkan dibangunkan untuk memastikan ia terus hidup, malar segar dan kekal menjadi sebahagian daripada khazanah warisan turun-temurun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media SFCF 2025, di Majlis Perbandaran Kota Samarahan, hari ini.
Mengulas lanjut, sejak pertama kali dianjurkan pada 2017 sebagai Samarahan Food Festival, acara ini terus berkembang di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
“Pada 2022, ia dijenamakan semula sebagai Festival Makanan dan Budaya Samarahan, dan penganjuran terbaharu pada 2024 di Aiman Mall menarik lebih 200,000 pengunjung dengan anggaran perolehan RM300,000.
“Pencapaian ini mendorong MPKS menjadikannya acara tahunan kerana ia terbukti mampu meningkatkan ekonomi setempat, membina rangkaian destinasi produk makanan serta menyemarakkan perpaduan melalui pertukaran budaya,” jelasnya.
Tambah beliau, bagi edisi 2025, SFCF akan berlangsung di Tapak Pasar Tamu MPKS, Desa Ilmu, menampilkan kerjasama meluas dengan Unimas, agensi kerajaan, persatuan dan NGO dalam merancang program serta pengisian festival.
“Setiap malam, pengunjung dapat menyaksikan persembahan kebudayaan pelbagai kaum seperti bermukun, bertandak dan kompang (Melayu), Gendang Pampat (Iban), persembahan Bugis dan kesenian masyarakat Cina.
“Artis popular seperti Baby Shima, Baggio Damasutra, Mawat, Rickie Andrewson dan Winnie Albert turut memeriahkan festival.
“Melalui kerjasama UNIMAS, peserta dari Kelantan, Kedah, Melaka serta Indonesia turut dijemput membuat persembahan,” ujarnya.
Sebanyak 46 tapak makanan dan minuman, 10 tapak makanan kering dan kraftangan, 6 kanopi pameran, serta 10 tapak trak makanan disediakan untuk usahawan tempatan.
Selain tarikan budaya, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk Samarahan Idol, Larian Santai SFCF, pertandingan memasak, pertandingan gubahan nanas, Cabaran Aerobik Berterusan, Pertandingan Kumpulan Muzik, dan Zumba Tanpa Henti Selama 3 Jam.
Antara objektif utama penganjuran SFCF 2025 ialah mempromosikan makanan tradisi pelbagai etnik di Samarahan, memperkenalkan seni budaya tempatan dan luar negeri, menyediakan peluang keusahawanan, serta mengangkat Samarahan sebagai destinasi pelancongan berdaya saing.
Festival itu dijangka menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan komuniti serta membuka lebih banyak peluang kepada peniaga tempatan dalam rangkaian perniagaan dari Samarahan hingga Sebuyau.
Oleh Masrin Affirah